DUNIA > BERITA

PRU2025: PARTI PEKERJA LANCAR MANIFESTO DENGAN 125 CADANGAN DASAR

17/04/2025 10:09 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 17 April (Bernama) -- Parti pembangkang Singapura, Parti Pekerja (WP), melancarkan manifesto pilihan rayanya pada Khamis menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) bulan depan, yang mengandungi pelbagai cadangan dasar termasuk menurunkan umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun, melaksanakan gaji minimum kebangsaan dan mengiktiraf secara rasmi Negara Palestin.

Manifesto setebal 122 muka surat bertajuk Working For Singapore, yang disiarkan di laman sesawang rasmi WP, merangkumi 125 cadangan dalam lima bidang utama: kos sara hidup; pertumbuhan dan peluang ekonomi; keterangkuman dan kesaksamaan; akauntabiliti dan demokrasi; serta keselamatan dan geopolitik.

Bagi menangani isu kos sara hidup, WP mencadangkan lebih banyak barangan keperluan – termasuk makanan asas – dikecualikan daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi mengurangkan kesan inflasi terhadap golongan berpendapatan rendah dan meringankan beban kumpulan pertengahan yang kurang menerima manfaat baucar GST sedia ada.

Manifesto itu turut mencadangkan skim insurans kehilangan pekerjaan untuk semua pekerja tempatan, yang mana majikan dan pekerja akan menyumbang kepada tabung khas bagi memberi bantuan kewangan sekiranya berlaku pemberhentian kerja.

Selain itu, WP menggesa penghapusan umur persaraan wajib, membolehkan pekerja warga emas terus bekerja sekiranya mereka mahu.

Di bawah tema keterangkuman dan kesaksamaan, WP mencadangkan Thaipusam diiktiraf semula sebagai cuti umum kebangsaan bagi menghormati penganut Hindu, sekali gus meningkatkan jumlah cuti umum di Singapura kepada 12 hari.

Bagi reformasi demokratik, WP mencadangkan umur kelayakan mengundi dikurangkan kepada 18 tahun daripada 21 tahun, mewujudkan Pejabat Ombudsman yang bebas, menggubal undang-undang bagi mengawal kegiatan melobi politik serta memansuhkan sistem Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan Skim Ahli Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP).

Mengenai dasar luar, WP menyatakan bahawa Singapura wajar mengiktiraf Negara Palestin secara rasmi, walaupun sebelum rundingan penyelesaian dua negara dimuktamadkan.

“Kami menyokong penyelesaian dua negara melalui rundingan, di mana kedua-dua negara demokratik, Israel dan Palestin, hidup aman dalam sempadan yang selamat dan diiktiraf. Pengiktirafan ini akan mengukuhkan pendirian kami terhadap penyelesaian dua negara,” menurut manifesto itu.

Sementara itu, menurut laporan The Straits Times (ST), Setiausaha Agung WP Pritam Singh pada sidang media Khamis enggan mengulas mengenai kawasan yang akan ditandingi serta jumlah calon yang bakal diketengahkan.

Pada Pilihan Raya Umum 2020, WP menurunkan 21 calon di empat  Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan dua Kawasan Undi Perseorangan (SMC), serta memenangi 10 kerusi Parlimen.

 -- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan