Oleh Noor Bakhtiar Ahmad
KUALA LUMPUR, April 19 (Bernama) -- Bermula dengan sebuah cita-cita kecil di tanah air, BeDaie, sebuah platform pengajian Islamik dalam talian hasil inisiatif anak muda Malaysia, kini menapak gagah di pentas antarabangsa apabila berjaya menembusi pasaran Amerika Syarikat.
Platform itu bukan sekadar menawarkan bahan bacaan Islamik atau kelas pengajian secara maya.
Ia membawa misi yang jauh lebih besar iaitu menyebarkan ilmu dan cahaya Islam ke seluruh dunia, walaupun bermula dari sebuah pejabat sederhana di Kota Bharu, Kelantan.
Di sebalik usaha itu ialah sosok bernama Muhammad Amar Mirza Ab Kadir Jailani, 31, yang percaya bahawa ilmu agama tidak harus terbatas kepada sempadan geografi.
“Kami mula menjual buku-buku Islamik di Amerika Syarikat sejak Mac lalu. Walaupun jumlah komuniti Muslim di sana hanya sekitar empat hingga lima juta orang, semangat mereka untuk menuntut ilmu sangat luar biasa.
“Mereka benar-benar dahagakan pengisian rohani,” katanya kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama, baru-baru ini.
Bagi memenuhi keperluan itu, Muhammad Amar dan pasukannya menterjemah 20 buku terbitan asal Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris, lalu memulakan langkah berani di New York, Pennsylvania dan New Jersey.
“Alhamdulillah, sambutan yang kami terima sangat menggalakkan. Buku-buku BeDaie telah diedarkan ke 50 kedai buku sebagai permulaan dan kami menyasarkan untuk menjangkau lebih banyak lokasi dalam masa terdekat,” katanya.
Namun BeDaie bukan sekadar menjual buku. Ia membuka ruang pembelajaran melalui kelas dalam talian, dengan bimbingan asatizah berpengalaman dari Malaysia.
Dalam tempoh dua hingga tiga bulan, para peserta berpeluang menghabiskan bacaan buku yang dibeli sambil dibimbing secara langsung.
Lulusan Madrasah Ribat Fatah di Seiun, Hadramaut, Yaman itu tidak menafikan laluan yang ditempuh bukan mudah.
Dengan operasi yang kini digerakkan oleh 148 petugas, cabaran terbesar ialah kos operasi dan logistik di negara sebesar Amerika Syarikat.
“Perjalanan antara satu negeri ke negeri lain memerlukan kos yang tinggi. Tambahan pula, kos sara hidup di sana jauh lebih mahal.
“Namun kami percaya, selagi ada keikhlasan dan kesungguhan, insya-Allah ada jalan,” katanya.
Bagi mengurangkan beban itu, BeDaie bekerjasama dengan syarikat milik rakyat Malaysia untuk menguruskan edaran buku serta mendapat sokongan SME Corp.
Kini, BeDaie bukan lagi nama asing di peringkat antarabangsa.
Selepas berjaya menembusi 10 negara, mereka menyasarkan kehadiran di 25 negara menjelang 2025.
Perancangan masa depan turut melibatkan penterjemahan buku dalam bahasa Pakistan, Bangladesh dan Turki.
“Pengajaran Islam secara dalam talian adalah kunci. Kami fokus kepada kitab-kitab turath dan ilmu fardu ain, supaya setiap umat Islam di mana-mana pun berada boleh mengaksesnya.
“Hanya pada 2024, sesi pengajaran kami mencecah lebih 1.5 juta tontonan dari 10 negara, dengan seramai 80,000 pelajar aktif. Menjelang 2025, kami menyasarkan 350,000 pelajar baharu,” katanya penuh tekad.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial