KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Hospital Medan Malaysia (HMM) kendalian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mula beroperasi hari ini di daerah Sagaing, Myanmar menjadi tumpuan ramai dengan aliran pesakit tanpa henti dari kawasan sekitar.
Markas ATM dalam kenyataan memaklumkan menerusi Operasi Bantuan Kemanusiaan (Operasi Starlight III), hospital medan tahap dua itu dilengkapi 20 katil dan wad, bilik pembedahan, unit rawatan rapi, radiologi, makmal serta menawarkan dua kepakaran iaitu pembedahan am dan ortopedik.
Menurut kenyataan itu pada hari pertama pengoperasian, Tim Operasi Starlight III telah berjaya melaksanakan pembedahan pertama pada 10.30 pagi waktu tempatan (12 tengah hari waktu Malaysia).
“HMM berkeupayaan melaksanakan pelbagai bentuk rawatan kritikal, termasuk prosedur pembedahan dan penjagaan pesakit secara menyeluruh termasuklah melakukan dua pembedahan secara serentak,” menurut kenyataan Markas ATM hari ini.
Selain itu, HMM turut menyediakan perkhidmatan klinik pesakit luar dan dijangka menerima 80 hingga 100 pesakit luar dalam kalangan penduduk sekitar.
Ketua Menteri Wilayah Sagaing Myint Naing dan Panglima Biro Operasi Khas Wilayah Yangon Leftenan Jeneral Thet Pon turut hadir semasa pembukaan operasi HMM.
Pada 18 April lepas, Malaysia menghantar pasukan perubatan ATM ke Myanmar bagi melaksanakan Operasi Starlight III susulan gempa bumi kuat yang melanda negara itu pada 28 Mac lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial