BEIJING, 24 April (Bernama-CMG) -- Presiden China Xi Jinping menzahirkan kesediaan negara itu untuk menggembleng tenaga dengan semua pihak, menunaikan kewajipan masing-masing dan berusaha bersungguh-sungguh untuk membina dunia yang bersih, indah dan lestari.
Beliau menyatakannya semasa menyampaikan ucapan video di Sidang Pemimpin Mengenai Iklim dan Peralihan Keadilan, pada Rabu.
Beliau berkata tahun ini menandakan ulang tahun ke-10 pencapaian Perjanjian Paris dan juga ulang tahun ke-80 penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Asalkan kita mengukuhkan keyakinan, solidariti dan kerjasama, pastilah kita dapat mendorong tadbir urus iklim global dan segala usaha berkaitan kemajuan dunia berkembang dengan mantap," kata Xi.
Beliau menekankan pentingnya untuk mengangkat multilateralisme, menjaga sistem antarabangsa yang berteraskan PBB dan berasaskan undang-undang antarabangsa, serta dengan tegas memelihara kesaksamaan dan keadilan antarabangsa.
Sementara itu, Xi menyeru untuk mempergiat kerjasama antarabangsa, melicinkan peralihan teknologi dan produk hijau supaya ia dapat diakses semua negara, khususnya negara membangun.
Selain itu menurut Xi, China akan terus meningkatkan kerjasama Selatan-Selatan dan menghulurkan bantuan semampu yang boleh kepada negara membangun lain.
"Kita hendaklah memangkin peralihan keadilan, mendorong penambahbaikan kesejahteraan rakyat dan tadbir urus iklim secara terselaras.
"Negara maju wajib untuk memberikan bantuan dan sokongan kepada negara membangun, menyumbang kepada transformasi hijau demi kesejahteraan rakyat di semua negara," kata Xi.
Beliau turut mengesyorkan komuniti antarabangsa untuk mempergiat tindakan berorientasikan keputusan.
"China akan mengumumkan sasaran sumbangan ditentukan negara (NDCs) 2035 yang merangkumi semua sektor ekonomi dan gas rumah hijau, sebelum Persidangan Perubahan Iklim PBB di Belem, Brazil," kata beliau.
Xi pada masa sama menekankan bahawa keharmonian yang wujud bersama antara manusia dan alam merupakan ciri-ciri utama modenisasi ala China.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial