DUNIA > BERITA

PERBINCANGAN IRAN, AS LEBIH SERIUS DAN TERPERINCI — ARAQCHI

27/04/2025 05:57 PM

TEHRAN, 27 April (Bernama-IRNA) -- Pusingan ketiga rundingan tidak langsung antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) di Oman berakhir dengan tumpuan kepada program nuklear Iran dan isu penghapusan sekatan, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Delegasi Iran diketuai Menteri Luar Abbas Araqchi, manakala AS diwakili utusan khas Timur Tengah Steve Witkoff.

Rundingan, yang diadakan dalam format teknikal dan peringkat tinggi, seminggu selepas pusingan kedua di Rom yang digambarkan kedua-dua pihak sebagai “membina”.

Dalam sesi perbincangan pakar, Timbalan Menteri Luar Iran bagi urusan politik, Majid Takht-e-Ravanchi serta Timbalan Menteri Luar bagi urusan undang-undang dan antarabangsa, Kazem Gharibabadi berunding dengan Ketua Perancang Dasar Jabatan Negara AS, Michael Anton.

Bercakap kepada wartawan selepas pertemuan itu, Araqchi berpuas hati terhadap kemajuan yang dicapai, namun menegaskan bahawa beberapa isu masih perlu dikaji secara mendalam.

“Rundingan berjalan dengan baik dan memuaskan serta dalam suasana yang baik, dengan kedua-dua pihak menunjukkan kesungguhan,” katanya.

Araqchi turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Oman dan menteri luarnya atas usaha menyediakan persekitaran yang tenang dan membina, sambil menyifatkan rundingan kali ini “jauh lebih serius” berbanding pertemuan terdahulu, dengan perbincangan yang lebih mendalam dan teknikal.

Beliau menjelaskan, rundingan memerlukan ketelitian tinggi, dengan kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan secara bertulis beberapa kali, mencerminkan keseriusan kedua-dua pihak.

Araqchi berkata bahawa pasukan perunding akan kembali ke ibu negara masing-masing untuk menilai hasil rundingan sebelum mesyuarat seterusnya, yang dijangka diadakan pada Sabtu depan.

-- BERNAMA-IRNA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan