DUNIA > BERITA

LOJI PEMASANGAN BYD AUTO PACU INDUSTRI AUTOMOTIF KEMBOJA

29/04/2025 06:13 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 29 April (Bernama) -- Industri automotif Kemboja menerima lonjakan besar selepas BYD Auto Co. Ltd., pengeluar kenderaan elektrik (EV) terbesar China mengadakan majlis pecah tanah bagi loji pemasangannya pada Isnin (28 April).

Loji yang terletak di Zon Ekonomi Khas Sihanoukville itu dijangka mempunyai kapasiti untuk memasang kira-kira 10,000 buah kereta setahun apabila ia mula beroperasi pada akhir tahun ini, lapor Fresh News.

Terdapat rancangan untuk menghasilkan model kenderaan elektrik serta model hibrid yang menggunakan gabungan petrol dan tenaga elektrik.

“Projek ini pasti akan menyokong usaha Kemboja dalam meningkatkan penggunaan EV seperti yang digariskan dalam dasar EV kami dan merupakan satu langkah positif,” kata Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Pengangkutan Darat Kementerian Kerja Raya dan Pengangkutan, Kong Sophal kepada Bernama.

Build Your Dreams” atau singkatannya BYD, ditubuhkan pada 1994 merupakan peneraju dunia dalam kenderaan elektrik dan hibrid “plug-in” serta merupakan syarikat tersenarai dalam Fortune Global 500, menurut laman sesawang korporatnya.

Dengan menggaji kira-kira 100,000 jurutera dan juruteknik di 11 institusi penyelidikan, BYD memiliki pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terbesar di dunia.

Loji baharu ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Kemboja dan memacu segmen kenderaan penumpang elektrik, selari dengan usaha kerajaan untuk membangunkan rangkaian pengangkutan yang lebih mesra alam.

Menurut Kementerian Kerja Raya dan Pengangkutan, sebanyak 2,253 buah kenderaan elektrik peribadi didaftarkan di negara itu pada tahun lalu.

Kerajaan Kemboja melancarkan “Pelan Hala Tuju EV Kemboja” dengan sasaran untuk mencapai 800,000 kenderaan elektrik menjelang 2030.

Kemboja juga mempunyai strategi jangka panjang untuk mencapai neutral karbon dan menyasarkan pengenalan 70 peratus motosikal elektrik serta 40 peratus kereta dan bas menjelang 2050.

-- BERNAMA


 
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan