DUNIA > BERITA

PRESIDEN KOSOVO LAKUKAN LAWATAN RASMI PERTAMA KE MALAYSIA, PERKUKUH HUBUNGAN DUA HALA

30/04/2025 09:48 PM

PUTRAJAYA, 30 April (Bernama) – Presiden Kosovo Dr Vjosa Osmani Sadriu akan mengadakan lawatan rasmi sulung ke Malaysia dari Khamis hingga Ahad (1 hingga 4 Mei), satu detik penting dalam hubungan dua hala sejak beliau memegang jawatan pada April 2021.

Sempena lawatan itu, Kementerian Luar juga dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan bahawa Presiden Osmani akan diberikan sambutan rasmi di Perdana Putra, Putrajaya, sebelum mengadakan mesyuarat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perbincangan akan memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan dan kesalinghubungan antara rakyat,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, termasuk Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025.

Presiden Osmani dan delegasinya yang terdiri daripada pegawai kanan Kabinet Presiden Kosovo, akan di raikan Anwar dalam satu majlis makan tengah hari rasmi di Seri Perdana.

Malaysia secara rasmi mengiktiraf Kosovo pada 30 Okt 2008, menjadikannya antara negara Asia pertama berbuat demikian.

Wisma Putra berkata hubungan diplomatik antara kedua-dua negara secara rasmi dimeterai pada 18 Mac 2011.

Pada 2024, jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan Kosovo mencecah RM28.55 juta (US$6 juta), dengan eksport Malaysia ke republik itu bernilai RM25.92 juta (US$5.5 juta) dan import sebanyak RM2.63 juta (US$550,000).

Eksport utama Malaysia termasuk minyak sawit, produk elektrik dan elektronik serta barangan keluaran kilang, manakala import dari Kosovo merangkumi bahan mentah dan batu separa berharga.

--BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan