DUNIA > BERITA

PRU2025 SINGAPURA: KEYAKINAN TERHADAP PM WONG BERGANTUNG KEPADA KEMAMPUAN TANGANI ISU EKONOMI RAKYAT

02/05/2025 04:20 PM

Oleh Noor Bakhtiar Ahmad

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Keyakinan rakyat terhadap Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong pada Pilihan Raya Umum 2025 (PRU2025) akan bergantung kepada kemampuannya untuk menangani isu-isu ekonomi rakyat yang mendalam.

“Wong, yang dikenali sebagai tokoh teknokratik dengan latar belakang kukuh dalam bidang kewangan dan komunikasi berkesan semasa krisis COVID-19, kini berdepan cabaran membina karisma dan keyakinan rakyat sesuatu yang menjadi kekuatan pemimpin-pemimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) terdahulu,” kata penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi kepada Bernama .

“Keyakinan rakyat terhadap Wong bergantung kepada kemampuannya menangani isu-isu ekonomi rakyat seperti ketidaksetaraan pendapatan, kebimbangan tentang keterbukaan pasaran buruh, serta cabaran dalam sektor perumahan awam,” katanya.

Dalam masa sama, landskap politik Singapura turut menyaksikan kebangkitan pembangkang, khususnya Parti Pekerja (WP), yang mencatat sejarah apabila berjaya menawan GRC Sengkang pada PRU2020.

Kejayaan itu dianggap sebagai isyarat awal perubahan sosiopolitik yang lebih mendalam.

Menurut Awang Azman, kebangkitan WP mencerminkan kematangan pengundi muda yang semakin berani mencabar dominasi PAP.

“Faktor seperti peningkatan kesedaran politik, akses kepada media sosial serta isu domestik yang dekat di hati rakyat menjadi pemangkin kepada perubahan sikap pengundi.

“Kebangkitan pembangkang ialah benih kepada perubahan jangka panjang, bukan semata-mata gelombang sementara,” kata beliau.

Namun begitu, Awang Azman mengingatkan bahawa perubahan di Singapura masih berlaku secara perlahan kerana struktur institusi kekal memihak kepada PAP termasuk persempadanan pilihan raya, kawalan terhadap media arus perdana dan ruang sivil yang terhad.

“Bagi Wong, ujian sebenar kepimpinannya bukan sekadar meneruskan legasi PAP, tetapi sama ada beliau mampu membentuk semula kepercayaan generasi baharu dan mengekalkan kestabilan dalam landskap politik yang semakin kompetitif,” kata Awang Azman.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan