DUNIA > BERITA

PRU2025 SINGAPURA: 48 PERATUS MENGUNDI SETAKAT 12 TENGAH HARI

03/05/2025 03:20 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 3 Mei (Bernama) -- Seramai 1,261,449 rakyat Singapura telah mengundi di 1,240 pusat pengundian di seluruh negara setakat 12 tengah hari Sabtu, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD).

Dalam kemas kini menerusi saluran media sosialnya, jabatan itu memaklumkan jumlah berkenaan mewakili kira-kira 48 peratus daripada 2,627,026 pengundi berdaftar di semua kawasan pilihan raya yang dipertandingkan.

Pengundi sedang memilih antara 11 parti politik dan dua calon Bebas yang bertanding bagi merebut baki 92 kerusi Parlimen di 32 kawasan pilihan raya.

Parti Tindakan Rakyat (PAP) telah memenangi lima kerusi tanpa bertanding di Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) Marine Parade–Braddell Heights pada hari penamaan calon.

Pusat pengundian dibuka dari 8 pagi hingga 8 malam. Mengundi adalah satu kewajipan di Singapura.

Selain pengundian dalam negara, 10 pusat pengundian luar negara turut beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam waktu tempatan di bandar masing-masing, namun tidak boleh melebihi waktu penutupan rasmi di Singapura.

Pusat-pusat pengundian itu terletak di Dubai, London, Washington D.C., New York, San Francisco, Canberra, Tokyo, Beijing, Hong Kong dan Shanghai.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan SIngapura (ICA) dalam kemas kini di Facebook pada tengah hari tadi memaklumkan bahawa aliran trafik keluar di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas pagi ini adalah amat sesak.

Pengembara dijangka berdepan kelewatan sehingga lima jam dan dinasihatkan memeriksa keadaan trafik sebelum memulakan perjalanan.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan