DUNIA > BERITA

PRU2025 SINGAPURA: 82 PERATUS MENGUNDI SETAKAT 5 PETANG - ELD

03/05/2025 06:50 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 3 Mei (Bernama) -- Seramai 2,164,593 rakyat Singapura telah keluar mengundi bagi Pilihan Raya Umum (PRU2025) setakat 5 petang, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD).

“Ini mewakili kira-kira 82 peratus daripada 2,627,026 pengundi berdaftar di semua kawasan pilihan raya yang ditandingi,” menurut ELD dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Jurucakap jabatan itu turut menggalakkan pengundi supaya tidak menunggu saat akhir untuk mengundi memandangkan semua 1,240 pusat pengundian akan ditutup pada 8 malam.

Selain pengundian dalam negara, 10 pusat pengundian di luar negara turut dibuka dari 8 pagi hingga 8 malam waktu tempatan masing-masing, namun perlu ditutup selewat-lewatnya pada waktu penutupan rasmi di Singapura.

Pusat pengundian luar negara itu terletak di Dubai, London, Washington D.C., New York, San Francisco, Canberra, Tokyo, Beijing, Hong Kong dan Shanghai.

Sementara itu, menurut The Straits Times (ST), Perdana Menteri Lawrence Wong telah membuang undi di Dewan Sukan MOE (Evans) sekitar tengah hari.

Ini merupakan pilihan raya umum pertamanya sejak memegang jawatan pada Mei tahun lalu.

Wong mengetuai pasukan PAP di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marsiling-Yew Tee, yang mereka menangi pada PRU2020 dengan 63.18 peratus undi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan