DUNIA > BERITA

PARTI BURUH ALBANESE MENANG BESAR DALAM PILIHAN RAYA AUSTRALIA

04/05/2025 12:24 AM

CANBERRA, 3 Mei (Bernama-Xinhua) -- Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri Anthony Albanese berjaya mempertahankan kuasa untuk penggal kedua selepas mencatat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Persekutuan Australia, lapor Xinhua.

Menurut unjuran Perbadanan Penyiaran Australia (ABC), Parti Buruh dijangka memperoleh bilangan kerusi tertinggi dalam sejarah parti itu di Dewan Rendah Parlimen Persekutuan, tempat kerajaan dibentuk.

Kemenangan ini menjadikan Albanese pemimpin pertama daripada mana-mana parti utama yang memenangi pilihan raya berturut-turut sejak 2004.

Dalam ucapan kemenangan di sebuah acara Parti Buruh di Sydney, Albanese menyifatkan perkhidmatannya sebagai perdana menteri sebagai “kehormatan terbesar” dalam hidupnya.

“Rakyat Australia memilih untuk menangani cabaran global mengikut cara Australia, saling membantu sambil membina masa depan,” katanya.

Beliau berikrar untuk “mentadbir bagi semua rakyat Australia” dan berkata kerajaan yang dipilih semula itu akan “menghabiskan setiap hari” sepanjang tiga tahun akan datang untuk membalas kepercayaan pengundi.

“Ini adalah masa penuh peluang buat negara kita. Kita mempunyai segala yang diperlukan untuk merebut peluang ini dan menjadikannya milik kita – tetapi kita mesti lakukannya bersama-sama,” katanya.

Sehingga 10.45 malam waktu tempatan (1245 GMT), ABC mengunjurkan Parti Buruh akan memenangi sekurang-kurangnya 87 daripada 150 kerusi di Dewan Rendah Parlimen ke-48, mengatasi rekod parti itu sebelum ini iaitu 86 kerusi pada pilihan raya 1986.

Kiraan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya Australia menunjukkan Parti Buruh mendahului gabungan konservatif Liberal-Nasional dengan nisbah 56.4-43.6 berdasarkan dua parti, dengan pengundi di seluruh negara menunjukkan peralihan sokongan kepada kerajaan.

Antara kerusi yang dimenangi Parti Buruh ialah Dickson di utara Brisbane, yang disandang Ketua Pembangkang Peter Dutton sejak 2001. Kekalahan itu menjadikan Dutton ketua pembangkang pertama dalam sejarah Australia yang kehilangan kerusinya pada Pilihan Raya Persekutuan.

ABC melaporkan gabungan pembangkang dijangka menang sekurang-kurangnya 39 kerusi Dewan Rendah, 12 kerusi dimenangi parti-parti kecil dan calon bebas, manakala baki 12 kerusi masih belum diputuskan.

Dalam ucapan kepada penyokong di Brisbane, Dutton berkata beliau telah menghubungi Albanese untuk mengakui kekalahan.

“Kami tidak cukup berjaya dalam kempen kali ini, itu jelas malam ini, dan saya bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya.

Kekalahan Dutton di Dickson bermakna Parti Liberal, sebagai parti utama dalam gabungan pembangkang, perlu memilih pemimpin baharu untuk memimpin pembangkang dalam Parlimen ke-48.

Pada Sabtu, lebih 7,000 pusat mengundi dibuka di seluruh Australia bagi membolehkan rakyat memilih sama ada untuk mengekalkan Kerajaan Buruh pimpinan Albanese untuk penggal kedua atau memberi peluang kepada gabungan Liberal-Nasional yang dipimpin Dutton.

Pengundian dalam Pilihan Raya Persekutuan adalah wajib bagi semua warganegara Australia berusia 18 tahun ke atas yang berdaftar dalam daftar pemilih, dan mereka yang gagal mengundi boleh dikenakan denda pentadbiran kecil.

Rakyat Australia mengundi menggunakan dua kertas undi – satu untuk Dewan Rendah Parlimen Persekutuan dan satu lagi untuk Dewan Senat.

Kesemua 150 kerusi Dewan Rendah dipertandingkan dalam pilihan raya kali ini, bersama 40 daripada 76 kerusi Dewan Senat. Setiap kerusi Dewan Rendah mewakili satu kawasan pilihan raya, manakala Senator mewakili negeri atau wilayah masing-masing.

--BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan