DUNIA > BERITA

PRU2025 SINGAPURA: FAKTOR LAWRENCE WONG DAN KESTABILAN PAP SUMBANG KEMENANGAN BESAR – PENGANALISIS

04/05/2025 02:45 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 4 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong berjaya melepasi ujian pertama kepimpinannya dengan cemerlang apabila mengetuai Parti Tindakan Rakyat (PAP) memperoleh kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU2025) yang baru berlangsung.

Menariknya, PAP bukan sahaja mengekalkan majoriti dua pertiga di Parlimen, malah turut meningkatkan jumlah undi popular kepada 65.57 peratus berbanding 61.24 peratus pada PRU2020.

Secara keseluruhan, parti itu memenangi 87 daripada 97 kerusi Parlimen, termasuk lima kerusi yang dimenangi tanpa bertanding.

Penganalisis politik mengaitkan kemenangan itu dengan apa yang digelar sebagai faktor Lawrence Wong – gabungan gaya kepimpinan beliau yang tenang, komitmen terhadap pembaharuan dalam barisan parti, serta rekod lama PAP dalam menjamin kestabilan politik dan ekonomi, khususnya ketika krisis.

Dekan di Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Rusdi Omar berkata keberanian Wong memperkenalkan ramai muka baharu dalam pilihan raya pertamanya sebagai setiausaha agung parti banyak membantu usaha PAP untuk lebih dekat dengan pengundi muda.

“Bagi saya, rakyat Singapura inginkan seorang pemimpin yang benar-benar mampu mentadbir negara, terutamanya dalam memastikan kestabilan politik dan ekonomi ketika berdepan ketidaktentuan,” katanya kepada Bernama.

Rusdi menjangkakan barisan Kabinet baharu akan menampilkan gabungan pemimpin berpengalaman dan generasi baharu, yang akan memperkukuh kerajaan serta menyokong kesinambungan kepimpinan negara – satu aset penting untuk hala tuju jangka panjang Singapura.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam dan Sains Sosial, Universiti Sultan Azlan Shah, Dr Kamaruddin Yaakob pula berkata sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada Mei tahun lalu, Wong jelas menunjukkan usaha untuk menangani isu-isu utama rakyat, termasuk berkaitan ekonomi.

Kamaruddin juga berpendapat bahawa kejayaan berterusan PAP – walaupun ketika banyak parti lama di negara lain semakin hilang sokongan – mencerminkan kepercayaan kukuh rakyat Singapura terhadap parti itu.

“Kita lihat di banyak negara, parti pemerintah yang sudah lama memerintah sering tumbang dalam pilihan raya. Tetapi itu tidak berlaku di Singapura,” katanya.

Dengan Parti Pekerja (WP) berjaya mengekalkan 10 kerusi pilihan raya dan memperoleh dua kerusi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), peranannya dalam menyemak dan mengimbangi kerajaan akan terus relevan dalam Parlimen, katanya.

Dalam pada itu, Kamaruddin turut optimis bahawa dengan mandat kuat yang diterima PAP, hubungan Malaysia-Singapura dijangka terus berkembang, khususnya melalui projek bersama seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ).

“Kedua-dua negara saling memerlukan dan apa-apa projek dua hala akan memberi kesan besar kepada kedua-dua pihak,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan