DUNIA > BERITA

VIETNAM KAJI SYARAT UNTUK MAJU DALAM PELANCONGAN HALAL

04/05/2025 05:20 PM

HANOI, 4 Mei (Bernama-VNA) -- Sektor pelancongan halal menawarkan peluang besar berikutan peningkatan permintaan dalam kalangan pelancong Muslim di seluruh dunia.

Menurut Agensi Berita Vietnam (VNA), dengan populasi umat Islam global melebihi 1.9 bilion, sektor pelancongan halal kini berkembang pesat.

Nilai pasaran pelancongan halal global dianggarkan sekitar US$266 bilion pada 2023 dan dijangka mencecah US$276 bilion tahun ini serta meningkat kepada US$350 bilion menjelang 2030.

Rektor Kolej Perdagangan dan Pelancongan Hanoi, Dr Trinh Thi Thu Ha berkata pelancongan berasaskan keperluan Muslim kini menjadi trend global dan semakin penting dalam sektor pelancongan banyak negara.

Menyedari potensi besar pasaran ini, Perdana Menteri Vietnam telah meluluskan satu strategi kebangsaan bertajuk “Memperkukuh kerjasama antarabangsa untuk membangunkan industri Halal Vietnam menjelang 2030” pada 14 Feb 2023.

Pada tahun ini, Vietnam mewujudkan Pihak Berkuasa Pensijilan Halal Vietnam (HALCERT) serta memperkenalkan piawaian kebangsaan untuk produk dan perkhidmatan berkaitan Halal.

Pihak berkuasa pelancongan negara itu juga menggandakan usaha promosi untuk menarik kedatangan pelancong Muslim.

Namun begitu, Vietnam masih kekurangan infrastruktur dan perkhidmatan yang mesra Muslim, menjadikannya kurang menarik bagi segmen pelancong terbabit.

Pengarah HALCERT, Ramlan Osman menegaskan bahawa pelancongan mesra Muslim memerlukan pematuhan kepada kriteria khusus.

Ini termasuk makanan yang diperakui Halal, kemudahan solat, perkhidmatan sepanjang Ramadan, privasi dalam aktiviti hiburan seperti ruang berasingan mengikut jantina, serta pilihan pakej pelancongan berorientasikan keluarga.

Beliau turut menyatakan bahawa antara cabaran utama yang dihadapi pelancong Muslim adalah soal makanan. “Makanan Vietnam memang enak, tetapi jika ia tidak memenuhi piawaian Halal, mereka tidak boleh menikmatinya,” katanya.

-- BERNAMA-VNA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan