Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 5 Mei (Bernama) -- Ekspo Malaysia Dili (MYExpo) yang pertama kali dianjurkan di Timor-Leste bakal mengetengahkan keunggulan Malaysia merentasi pelbagai sektor demi memperluas hubungan dagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.
Penganjuran acara itu selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan turut berfungsi sebagai platform pelancaran kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 di Timor-Leste
Duta Besar Malaysia ke Timor-Leste Datuk Amarjit Singh berkata, MYExpo merupakan platform strategik bagi mempamerkan keupayaan Malaysia dalam pelbagai sektor, selain membuka ruang akses terus kepada pasaran baharu yang sedang pesat membangun di negara itu.
“Acara ini menjadi pemangkin kepada penerokaan usaha sama, perkongsian ilmu dan peluang perdagangan yang boleh memacu pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara.
“Dengan mempertemukan pihak berkepentingan secara bersemuka, ia mewujudkan asas kukuh bagi kerjasama jangka panjang dan hasil perniagaan yang nyata,” kata Amarjit.
MYExpo, yang turut menampilkan ASEAN Bazaar akan berlangsung di Pusat Konvensyen Dili pada 9 dan 10 Mei ini.
Sekitar 30 pempamer dari Malaysia mewakili institusi pengajian tinggi, pusat latihan kemahiran, sektor penjagaan kesihatan, pembinaan, minyak dan gas, pembuatan serta pelancongan akan mengambil bahagian dalam ekspo itu.
Beliau berkata penganjuran MYExpo 2025 juga memberi mesej jelas bahawa Timor-Leste bersedia membuka pintu kepada pelaburan luar serta komited menyertai lanskap ekonomi serantau.
“Ketika negara ini bersiap sedia untuk menjadi anggota penuh ASEAN, ekspo ini mencerminkan kesediaannya untuk berinteraksi dengan rakan serantau – malah Timor-Leste berpotensi menjadi jambatan dengan anggota Komuniti Negara-Negara Berbahasa Portugis (CPLP).
“Ia mencerminkan pendekatan diplomasi dan pembangunan yang proaktif dan berpandangan jauh,” katanya.
Acara itu dianjurkan oleh Myevents International dengan inisiatif dan sokongan Kedutaan Besar Malaysia di Dili.
Timor-Leste kini berstatus pemerhati dalam ASEAN dan berhasrat menjadi anggota penuh blok perdagangan serantau yang terdiri daripada 10 negara itu.
Negara kecil dengan populasi sekitar 1.4 juta orang itu kaya dengan sumber minyak dan kopi merupakan antara eksport utamanya.
Malaysia merupakan negara pertama yang menubuhkan pejabat perhubungan di Dili pada 13 April 2001, dan setahun kemudian Timor-Leste memperoleh kemerdekaan daripada Indonesia.
Malaysia dan Timor-Leste menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Udara (ASA) di Kuala Lumpur pada Jun lalu bagi memperkukuh hubungan penerbangan antara kedua-dua ibu negara.
Susulan perjanjian itu, Batik Air dijadual memulakan penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Dili pada 6 Jun 2025.
“Perjanjian ASA merupakan sebahagian daripada strategi Timor-Leste untuk memperluas rangkaian penerbangan antarabangsa, dengan perjanjian seumpamanya turut dirunding bersama negara lain bagi memperkukuh pembangunan ekonomi dan integrasi ke dalam kerangka serantau,” kata Amarjit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial