DUNIA > BERITA

EU UMUMKAN PAKEJ €500 JUTA UNTUK TARIK PENYELIDIK ASING 2025–2027

05/05/2025 10:31 PM

ISTANBUL, 5 Mei (Bernama-Anadolu) -- Presiden Suruhanjaya Eropah pada Isnin mengumumkan pakej berjumlah €500 juta (US$567 juta) bagi tempoh 2025 hingga 2027 untuk menarik penyelidik asing ke Eropah, lapor Anadolu Ajansi.

 “Saya boleh mengumumkan bahawa kami akan melancarkan pakej baharu bernilai €500 juta bagi 2025 hingga 2027 untuk menjadikan Eropah sebagai tarikan kepada para penyelidik. Ini akan membantu menyokong penyelidik dan ahli sains terbaik dari Eropah dan seluruh dunia,” kata Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen pada satu persidangan di Paris sempena pelancaran inisiatif Pilih Eropah untuk Sains. 

Beliau turut menyatakan komitmen blok itu untuk mencapai sasaran pelaburan penyelidikan dan pembangunan sebanyak tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030, selain merancang mewujudkan super geran baharu selama tujuh tahun di bawah Majlis Penyelidikan Eropah bagi membantu menawarkan prospek jangka panjang kepada ahli sains terkemuka.

Pengumuman itu dibuat ketika ketegangan antara pentadbiran Amerika Syarikat dan universiti elit di negara itu meningkat, termasuk berkaitan pengambilan pelajar, amalan pengambilan staf dan pemantauan kurikulum.

“Kami lihat hari ini peranan sains dipersoalkan. Pelaburan dalam penyelidikan asas yang bebas dan terbuka turut dipersoalkan. Ini satu kesilapan besar,” kata von der Leyen.

Presiden Perancis Emmanuel Macron turut menyifatkan dasar-dasar sedemikian sebagai satu “kesilapan”.

“Tiada siapa menjangkakan bahawa satu daripada demokrasi terhebat dunia akan menghapuskan program penyelidikan semata-mata kerana mengandungi perkataan ‘kepelbagaian’. Tiada siapa menyangka demokrasi hebat itu akan menyekat visa kepada penyelidik - termasuk yang pernah menyumbang kepada keselamatan digital mereka sendiri,” katanya, merujuk secara tidak langsung kepada pentadbiran AS ketika ini.

Macron turut menggesa hadirin untuk “menghargai sains yang bebas” dan menolak sebarang perintah yang melarang penyelidikan dalam bidang tertentu.

“Tiada kemerdekaan sebenar bagi Eropah, tiada autonomi strategik, tanpa sains bebas dan kukuh di Eropah. Kita pernah gagal kerana terlalu selesa bergantung kepada Amerika,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa ramai penduduk Eropah “amat yakin” mereka tidak akan tercicir.

“Bagi saya, saya mahukan Eropah di mana keupayaan untuk menjalankan penyelidikan, memahami, mengajar dan berinovasi tidak bergantung kepada China atau Amerika Syarikat,” kata Macron lagi.

Macron turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak €100 juta oleh Kerajaan Perancis bagi menarik lebih ramai penyelidik asing ke negara itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan