DUNIA > BERITA

SINGAPURA PANTAU LONJAKAN KES COVID-19

13/05/2025 06:25 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 13 Mei (Bernama) -- Pihak berkuasa kesihatan Singapura kini memantau peningkatan jangkitan COVID-19 di republik itu susulan lonjakan melebihi 3,000 kes dalam minggu terkini.

Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) dalam satu kenyataan bersama pada Selasa berkata, jumlah kes COVID-19 yang dianggarkan bagi minggu 27 April hingga 3 Mei meningkat kepada 14,200 kes, berbanding 11,100 kes pada minggu sebelumnya.

“Bagi tempoh sama, purata harian kemasukan ke hospital akibat COVID-19 meningkat daripada 102 kepada 133, namun purata kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun daripada tiga kepada dua kes. Hospital ketika ini mampu menguruskan peningkatan kes berkenaan,” menurut kenyataan itu.

MOH dan CDA berkata peningkatan kes berkemungkinan disebabkan beberapa faktor, termasuk penurunan imuniti dalam kalangan penduduk.

Ketika ini, varian LF.7 dan NB.1.8 (masing-masing keturunan daripada varian JN.1) merupakan varian utama yang menular di Singapura, merangkumi lebih dua pertiga daripada kes tempatan yang dianalisis secara berturut-turut.

Bagaimanapun, MOH dan CDA berkata tiada bukti menunjukkan varian yang sedang menular itu lebih mudah berjangkit atau menyebabkan penyakit yang lebih teruk berbanding varian sebelumnya.

“Seperti penyakit pernafasan endemik lain, gelombang COVID-19 secara berkala dijangka berlaku sepanjang tahun,” menurut kenyataan itu sambil menegaskan bahawa vaksinasi kekal berkesan dalam mencegah penyakit serius.

Mereka yang berisiko tinggi mengalami gejala teruk akibat COVID-19, termasuk individu berusia 60 tahun ke atas, pesakit yang mempunyai kerentanan kesihatan serta penghuni kemudahan jagaan warga emas digalakkan mendapatkan vaksinasi terkini.

Petugas kesihatan serta individu yang tinggal atau bekerja dengan golongan rentan juga disarankan untuk mengambil vaksin.

Orang ramai turut dinasihatkan agar terus mengamalkan langkah berjaga-jaga serta mengutamakan tanggungjawab kendiri dan sosial.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan