DUNIA > BERITA

CHINA UMUM GARIS PANDUAN UNTUK TINGKATKAN KERJASAMA DENGAN NEGARA LAC

14/05/2025 03:29 PM

BEIJING, 14 Mei (Bernama-CMG) -- Mesyuarat Peringkat Menteri Forum China-Komuniti Negara-negara Amerika Latin dan Caribbean (CELAC) keempat diadakan di Beijing pada Selasa.

Presiden China Xi Jinping menghadiri majlis perasmian dan mengumumkan lima program utama untuk meningkatkan pembangunan dan penjanaan bersama antara China dengan negara-negara Latin Amerika dan Caribbean (LAC).

Kelima-lima program itu merangkumi aspek solidariti, pembangunan, peradaban, keamanan dan hubungan sesama rakyat.

Menteri Luar China, Wang Yi dalam sidang akhbar di sini pada Selasa berkata pengumuman lima program utama itu telah menetapkan arah perkembangan komuniti berkongsi nasib China-LAC.

Beliau menyatakan, pihak China bersedia berganding bahu dengan negara-negara LAC untuk saling menyokong dalam isu-isu melibatkan keprihatinan dan kepentingan teras kedua-dua pihak.

Dalam tempoh tiga tahun akan datang, China akan mengundang 300 wakil parti politik dari negara LAC setiap tahun ke China untuk pertukaran pengalaman tadbir urus negara.

Sementara itu, Wang Yi menekankan bahawa program dalam hubungan sesama rakyat adalah untuk merapatkan persahabatan dalam rakyat kerana kerjasama China-LAC berasal daripada harapan rakyat, memenuhi keperluan rakyat dan membawa limpahan manfaat kepada rakyat.

Wang mengumumkan bahawa China akan memberikan bantuan lanjutan kepada negara LAC dalam tempoh tiga tahun akan datang. Antaranya termasuk 3,500 biasiswa tajaan kerajaan, 10,000 peluang latihan di China, 500 biasiswa untuk guru Bahasa Mandarin, 300 peluang latihan pembasmian kemiskinan, 1,000 kumpulan kunjungan ke China di bawah program "Jambatan Bahasa Mandarin", dan 300 projek melibatkan kebajikan rakyat.

Dalam pada itu, China akan melaksanakan dasar pengecualian visa bagi pengembara dari lima negara di rantau LAC bagi memudahkan pertukaran lawatan rakyat. Jumlah negara terlibat akan bertambah bagi fasa seterusnya.

-- BERNAMA-CMG

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan