LONDON, 16 Mei (Bernama-Anadolu) -- Hospital Eropah Gaza, kemudahan terakhir yang menyediakan rawatan kanser di Semenanjung Gaza, kini tidak beroperasi selepas serangan Israel, menurut badan amal perubatan antarabangsa Doktor Tanpa Sempadan (MSF) pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam kenyataan, MSF berkata hospital yang terletak di Khan Younis itu terpaksa menghentikan operasi selepas dibedil pada 13 Mei.
“Ia merupakan satu daripada talian hayat terakhir dalam sistem penjagaan kesihatan Gaza yang musnah teruk,” tulis MSF di platform X, sambil menyatakan bahawa Hospital Nasser yang disokong MSF kini satu-satunya hospital awam yang berfungsi di Khan Younis, selatan Gaza.
MSF memaklumkan Hospital Nasser turut terkena serangan pada hari yang sama, beberapa jam sebelum hospital Eropah itu - bagi kali kedua dalam tempoh kurang dua bulan.
“Serangan berulang ke atas fasiliti kesihatan jelas menunjukkan pihak berkuasa Israel menjadikan Semenanjung Gaza tidak selamat untuk didiami,” amaran MSF.
Sejak 2 Mac, Israel menutup pintu sempadan Gaza kepada makanan, bekalan perubatan dan bantuan kemanusiaan, memburukkan krisis kemanusiaan yang semakin kritikal, menurut kumpulan hak asasi dan agensi antarabangsa.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial