BEIJING, 19 Mei (Bernama-CMG) -- Colombia dan China kini giat memperdalam kerjasama dua hala dan menggerakkan langkah-langkah konkrit menerusi memorandum persefahaman (MoU), kata Presiden Colombia Gustavo Petro.
Presiden Petro mengadakan lawatan ke China sempena mesyuarat peringkat menteri keempat Forum China-Komuniti Negara Amerika Latin dan Caribbean (CELAC) yang berlangsung di Beijing baru-baru ini.
Dalam tempoh lawatan itu, pemimpin kedua-dua negara turut menyaksikan penandatanganan pelan kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), yang disifatkan Petro sebagai berlandaskan prinsip saling menguntungkan dan menang-menang.
"Ia amat berbeza dengan model kerjasama antara negara Amerika Latin dengan Amerika Syarikat (AS) yang terlalu bergantung kepada pengeksportan bahan mentah," katanya dalam temu bual bersama wartawan Kumpulan Media China (CMG).
Menurut Petro, Colombia harus bertindak seperti negara yang lain untuk mewujudkan titik keseimbangan hubungan antarabangsa.
"Kami berhak memilih rakan kerjasama secara bebas dan tidak perlu tunduk kepada paksaan kuasa luar.
"Jika kerjasama dengan sesebuah negara akan mengundang sekatan, ia pasti bukan cara perhubungan yang wajar," katanya.
Petro menzahirkan harapan supaya Colombia dapat menjalinkan hubungan secara sama rata dengan negara-negara dari seluruh dunia.
--BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial