DUNIA > BERITA

BINA KEPERCAYAAN DIGITAL ELEMEN PENTING PACU MASA DEPAN KEWANGAN ASEAN

22/05/2025 08:52 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Dalam ASEAN memacu perjalanan transformasi digitalnya, menangani isu-isu seperti fi tersembunyi, kekurangan mekanisme dan privasi data penting untuk memastikan tiada syarikat yang ketinggalan.

Dalam sebuah artikel yang diterbitkan oleh Bernama, Satvinder Singh, Timbalan Setiausaha Agung untuk Komuniti Ekonomi ASEAN dan Thomas Beloe, Pengarah Hab Kewangan Mampan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), menekankan keperluan membina ekosistem digital yang dipercayai.

Mereka menegaskan bahawa meningkatkan kepercayaan digital penting untuk memanfaatkan akses kepada kredit formal, membolehkan usahawan mengembangkan perniagaan mereka dan meningkatkan pendapatan.

Artikel itu menekankan bahawa pembayaran digital bukan sekadar satu kemudahan, malah berperanan sebagai gerbang kepada keterangkuman kewangan yang lebih luas.

Ini apabila ia dibina berasaskan kepercayaan dan ketelusan, ia berpotensi untuk meningkatkan produktiviti dan daya tahan perusahaan mikro.

“Walaupun tahap celik digital meningkat, perusahaan mikro masih berdepan halangan untuk mendapatkan pembiayaan yang amat diperlukan. Situasi ini menjadi lebih sukar oleh ketidakpercayaan perusahaan mikro dalam ekosistem digital disebabkan kes penipuan, fi tersembunyi dan kekurangan mekanisme yang berpotensi menjejaskan pertumbuhan mereka,” kata penulis.

Di Indonesia, misalnya, hanya 41 peratus peniaga menggunakan Kod Respons Pantas Standard Indonesia (QRIS) menyelesaikan sekurang-kurangnya satu transaksi sebulan manakala 18 peratus kekal tidak aktif berikutan kehilangan kepercayaan akibat caj yang tidak dijangka dan pertikaian yang tidak selesai.

“Oleh itu, penting untuk membina dan memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terus mempercayai pembayaran digital dan ekosistem kewangan yang lebih luas,” kata penulis.

Sehubungan itu, Better Than Cash Alliance Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dengan kerjasama Jawatankuasa Kerja ASEAN mengenai Keterangkuman Kewangan (WC-FINC) telah memperkenalkan Trust Quotient Policy Toolkit, yang diiktiraf oleh menteri-menteri ASEAN dan gabenor bank pusat mencerminkan komitmen rantau ini untuk mengukuhkan keterangkuman kewangan.

ASEAN juga melakar kemajuan dalam rangkaian kewangan serantau melalui komitmen Jawatankuasa Kerja ASEAN mengenai Sistem Pembayaran dan Penyelesaian (WC-PSS), apabila beberapa negara anggota termasuk Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam, berjaya membolehkan pembayaran kod QR rentas sempadan dan pemindahan dana antara individu.

Penambahbaikan itu merupakan anjakan perubahan sebenar memandangkan proses kewangan yang dahulunya mengambil masa berhari-hari kini boleh diselesaikan dalam beberapa minit, sekali gus membolehkan kiriman wang, pembayaran perniagaan, termasuk e-dagang dan transaksi berkaitan pelancongan.

Menurut artikel itu, meliputi QRIS Indonesia, Khmer QR (KHQR) Kemboja dan PromptPay Thailand, rantau ini menerima guna penyelesaian pembayaran digital pada kadar yang luar biasa.

Bahagian pembayaran digital daripada jumlah transaksi keseluruhan melonjak daripada hanya 48 peratus pada 2022 kepada kira-kira 56 peratus pada 2024.

Momentum yang seiring dengan kemajuan dalam pembayaran digital itu juga sejajar dengan rangka kerja serantau seperti Pelan Induk Digital ASEAN 2025, Pelan Hala Tuju Bandar Seri Begawan dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), mencerminkan visi kolektif ASEAN untuk pertumbuhan digital yang inklusif, boleh diakses dan kos rendah.

“Tindakan memastikan mekanisme penyelesaian yang cepat dan lancar, terutama bagi pertikaian nilai kecil, penting untuk memupuk kepercayaan kerana kelewatan atau isu yang tidak dapat diselesaikan boleh menjejaskan keyakinan dengan ketara,” kata mereka.

Sebagai pengerusi dan tuan rumah ASEAN 2025, Malaysia akan mengadakan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di KLCC dari 26 hingga 27 Mei, apabila blok serantau ini dijangka membincangkan masa depan digitalnya, antara keutamaan penting lain.

Sempena sidang kemuncak itu, dua mesyuarat peringkat tinggi utama -- Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China -- akan turut berlangsung, menandakan platform penting untuk memperluas kerjasama serantau dan antara wilayah.

Artikel penuh ini boleh dibaca di www.bernama.com.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan