WASHINGTON, 1 Okt (Bernama-Anadolu) -- Operasi kerajaan Amerika Syarikat (AS) terhenti awal Rabu selepas rundingan antara Presiden Donald Trump dan anggota Demokrat di Kongres bagi meluluskan pembiayaan kerajaan gagal mencapai kata sepakat, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Mereka mempunyai tempoh sehingga tengah malam Selasa untuk mencapai persetujuan, namun tarikh akhir itu berlalu dengan perbezaan ketara yang masih wujud.
Demokrat berusaha memasukkan pembaharuan penjagaan kesihatan dalam rang undang-undang belanjawan, termasuk pemansuhan sebahagian undang-undang cukai utama Trump yang mengurangkan pembiayaan Medicaid, serta lanjutan subsidi di bawah undang-undang penjagaan kesihatan quasi-universal AS, dikenali sebagai “Affordable Care Act”.
Sebaliknya, Republikan menuntut resolusi kelangsungan tanpa sebarang pindaan kepada perbelanjaan sedia ada.
Dewan Perwakilan meluluskan rang undang-undang pada 19 Sept lalu untuk membiayai kerajaan pada tahap sedia ada sehingga 21 Nov, namun ia terhenti di Senat kerana Republikan tidak mempunyai jumlah kerusi mencukupi untuk melepasi halangan prosedur 60 undi bagi meluluskan undang-undang.
Penutupan kerajaan paling lama dalam sejarah AS berlangsung selama 35 hari dan berlaku semasa penggal pertama Trump.
Walaupun penutupan kerajaan tidak semestinya mencetuskan krisis ekonomi sepenuhnya, ia tetap menyebabkan gangguan besar terhadap pelbagai aspek kehidupan rakyat Amerika.
Ramai kakitangan persekutuan diminta bercuti tanpa gaji atau dipaksa bekerja tanpa bayaran, sementara sebahagian lagi diletakkan dalam cuti mandatori sehingga belanjawan baharu diluluskan.
Setiap agensi persekutuan mempunyai pelan penutupan sendiri bagi menentukan pekerja yang dianggap penting.
Tidak seperti penutupan sebelum ini, Trump mengugut untuk melakukan pemberhentian tambahan jika kerajaan ditutup.
Perkhidmatan seperti keselamatan sempadan, penjagaan hospital, kawalan trafik udara, penguatkuasaan undang-undang dan penyelenggaraan grid tenaga dianggap penting dalam penutupan sebelum ini, manakala manfaat seperti Keselamatan Sosial, Medicare dan Medicaid diteruskan.
Perkhidmatan imigresen, misalnya tidak terjejas kerana dibiayai oleh yuran bebas.
Bagaimanapun, beberapa perkhidmatan awam mungkin terjejas. Pemeriksaan alam sekitar dan makanan boleh boleh terganggu, sementara pemeriksaan kilang digantung sementara.
Taman negara mungkin ditutup dan kelewatan atau pembatalan penerbangan boleh berlaku kerana pegawai kawalan trafik udara dan keselamatan bekerja tanpa gaji.
Pelan kecemasan Biro Statistik Buruh menyatakan bahawa data ekonomi tidak akan diterbitkan sepanjang penutupan kerajaan, termasuk laporan non-farm payrolls yang dijadual dikeluarkan Jumaat ini.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial