DUNIA > BERITA

MUSIM MONSUN BAWA HASIL PADI LUMAYAN, PETANI KEMBOJA BIMBANG HARGA RENDAH

06/10/2025 04:54 PM

PHNOM PENH, 6 Okt (Bernama) -- Musim monsun kali ini membawa makna istimewa buat jutaan petani padi di Kemboja apabila pengeluaran beras dijangka meningkat susulan hujan lebat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Hujan monsun dari Mei hingga Oktober turun tepat pada waktunya, sekali gus menceriakan petani di seluruh rantau Asia Tenggara yang bergantung kepada musim hujan bagi penanaman padi.

Negara yang ekonominya bergantung kepada sektor pertanian - termasuk Kemboja, Indonesia, Malaysia, Vietnam, Filipina dan Thailand - turut optimis dengan hasil pengeluaran masing-masing memandangkan monsun yang menjadi nadi kehidupan itu menyediakan bekalan air mencukupi untuk mengusahakan sawah.

“Hujan yang turun tepat pada waktunya akan membantu petani memperoleh hasil tuaian yang baik tahun ini, dan dijangka meningkatkan hasil padi juga.

“Secara keseluruhan, dengan hujan yang mencukupi, Kemboja dijangka dapat menuai lebih 10 juta tan padi pada 2025,” kata Ketua Eksekutif Persatuan Pengeluar Pertanian Persekutuan Peladang Kemboja (CFAP) Sok Sotha kepada Bernama.

Petani Kemboja menanam padi di kawasan seluas kira-kira tiga juta hektar di seluruh negara dua kali setahun - musim hujan diikuti musim kering.

Kemboja terkenal dengan beras wangi bijian panjang berkualiti premium jenis Jasmine yang biasanya ditanam ketika musim hujan.

Menurut Persekutuan Beras Kemboja, negara itu meraih kira-kira RM6 bilion (US$1.5 bilion) daripada eksport padi dan beras kisar dari Januari hingga Ogos tahun ini, dengan jumlah eksport sebanyak 473,000 tan beras kisar.

“Tahun ini petani gembira dengan corak cuaca yang baik untuk penanaman padi secara keseluruhan, namun mereka masih bimbang tentang harga beras,” kata Sotha.

Pengeluaran beras global berada pada paras optimum tahun ini, sebahagian besarnya disumbangkan oleh hasil tinggi tanaman bergantung monsun.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) pada 3 Okt meramalkan pengeluaran beras dunia akan mencapai paras tertinggi sebanyak 556 juta tan (beras kisar) bagi tahun 2025/26.

Di India, pengeksport beras terbesar dunia, ketibaan hujan tepat pada masanya memberi lonjakan besar kepada jutaan petani.

Vietnam, yang baru-baru ini muncul sebagai pengeksport beras kedua terbesar dunia selepas mengatasi Thailand, dijangka menghasilkan kira-kira lapan juta tan metrik, menurut agensi beras tempatan.

Namun, pengeluar utama seperti Vietnam dan Filipina turut terjejas akibat taufan yang kerap dan tidak menentu sehingga merosakkan sebahagian kawasan sawah.

Lambakan bekalan beras dijangka mengurangkan tekanan terhadap harga makanan dan menurunkan kadar inflasi makanan, menurut pakar pertanian.

Namun terdapat juga sisi lain di sebalik kisah positif itu. Lebihan pengeluaran dan stok global yang meningkat kini menekan harga beras dunia, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan petani.

“Dengan hasil tuaian besar-besaran kebelakangan ini, stok beras global kini berada pada paras tertinggi, dengan negara seperti India dan China mengekalkan simpanan yang besar.

“Simpanan ini menambah tekanan penurunan terhadap harga antarabangsa,” menurut Institut Penyelidikan Padi Antarabangsa (IRRI) yang berpangkalan di Manila pada Ogos lalu.

Sementara itu, Samarendu Mohanty, pengarah Pusat Kajian Pertanian dan Pembangunan Lestari di Profesor Jayashankar Telangana State Agricultural University, berkata India berkemungkinan mengeksport antara 22 juta tan metrik dan 25 juta tan metrik beras tahun ini.

“Banjir akibat hujan berlebihan menjejaskan sebahagian kawasan penanaman padi tetapi secara keseluruhannya pengeluaran tahun ini akan mencapai paras tertinggi.

“Harga beras akan terus menerima tekanan kerana pengeluaran bertambah baik di negara pengimport utama termasuk Indonesia dan Filipina,” katanya kepada Bernama.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan