DUNIA > BERITA

MALAYSIA TUNTUT PEMBEBASAN SERTA-MERTA SUKARELAWAN FLOTILA KEMANUSIAAN KE GAZA

08/10/2025 05:29 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Malaysia menuntut pembebasan serta-merta dan tanpa syarat semua sukarelawan dalam misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) yang ditahan rejim Zionis ketika dalam pelayaran menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza. 

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Rabu turut menuntut mendesak Israel menghormati hak mereka sebagai sukarelawan kemanusiaan dan memastikan keselamatan serta maruah mereka terpelihara pada setiap masa.

“Kementerian Luar mengesahkan bahawa sembilan warganegara Malaysia adalah antara peserta yang berada di atas kapal flotila berkenaan. Keselamatan dan kebajikan semua rakyat Malaysia kekal menjadi keutamaan tertinggi Kerajaan,” katanya.

Tambahnya, semua perwakilan diplomatik Malaysia di rantau berkenaan telah pun diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya dan telah mengambil langkah proaktif bagi menghadapi insiden ini, termasuk melaksanakan penyelarasan rapi dengan pihak berkuasa serta kerajaan negara yang berkaitan.

“Perwakilan ini kini giat melaksanakan usaha untuk memastikan pembebasan segera dan selamat semua peserta yang ditahan serta memastikan kebajikan mereka sentiasa terjamin,” katanya.

Malaysia turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan pemintasan dan serangan rejim Zionis Israel pada 8 Okt 2025 terhadap sukarelawan kemanusiaan dan kapal-kapal yang menyertai misi FFC dan TMTG itu.

Tegasnya, tindakan pencerobohan yang dilakukan di perairan antarabangsa terhadap misi kemanusiaan yang aman, jelas merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang maritim antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

“Malaysia berdiri teguh menyatakan solidariti penuh bersama rakyat Palestin dan menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi untuk terus menyokong segala usaha antarabangsa bagi menamatkan bencana kemanusiaan di Gaza serta mencapai keamanan yang adil, menyeluruh dan berkekalan di rantau tersebut,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan