JAKARTA, 7 Okt (Bernama-ANTARA) -- Kerajaan Indonesia menyasarkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) mula dilaksanakan menjelang 2026.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto berkata beliau berharap rundingan pusingan ke-14 DEFA akan mencapai sekurang-kurangnya 70 peratus kemajuan dalam pembangunan perjanjian itu, lapor Agensi Berita ANTARA.
“Dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN sebelum ini, disasarkan agar pertemuan yang diadakan di Indonesia khususnya di Jakarta dapat mendorong DEFA mencapai 70 peratus kemajuan ke arah pelaksanaannya menjelang 2026,” katanya pada sidang media di Jakarta pada Selasa.
Airlangga menjelaskan bahawa Asia Tenggara kini merupakan antara pasaran digital paling dinamik di dunia, dengan pertumbuhan ekonomi digital yang pesat setiap tahun.
“Dengan populasi seramai 680 juta, ASEAN merupakan pasaran digital paling dinamik di dunia.
“Pada 2024, nilai ekonomi digital ASEAN dianggarkan mencecah US$263 bilion,” katanya.
Menjelang 2030, ekonomi digital ASEAN dijangka mencapai US$1 trilion, namun beliau percaya potensi itu boleh meningkat dua kali ganda kepada US$2 trilion sekiranya DEFA dilaksanakan secara optimum di semua negara anggota.
Menurut beliau, Indonesia memainkan peranan penting sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi digital di rantau ini.
Pada 2024, nilai ekonomi digital Indonesia dianggarkan sebanyak US$90 bilion dan dijangka meningkat kepada US$360 bilion menjelang 2030.
Daripada jumlah itu, sektor e-dagang merupakan penyumbang terbesar dengan nilai diunjurkan mencecah US$150 bilion.
Dalam pertemuan itu, Airlangga memaklumkan bahawa jawatankuasa rundingan bersetuju untuk memberi keutamaan kepada lima bidang utama, termasuk perkhidmatan kewangan digital, peraturan berasaskan WTO bagi urus niaga digital bebas cukai (transmisi elektronik), serta layanan tanpa diskriminasi terhadap produk digital.
Pengurusan kabel dasar laut dan fleksibiliti dalam sistem pembayaran elektronik turut disenaraikan sebagai keutamaan.
Bagaimanapun, Airlangga turut menekankan beberapa cabaran serantau yang perlu ditangani termasuk perbezaan peraturan antara negara anggota dan keupayaan terhad perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk menembusi pasaran rentas sempadan.
Perjanjian DEFA akan dilaksanakan mengikut penyesuaian terhadap peraturan domestik di setiap 10 negara anggota ASEAN.
Bagi Timor-Leste, yang dijangka menjadi anggota penuh ASEAN menjelang Oktober 2025, Airlangga berkata negara itu akan diberikan tempoh masa bagi menyesuaikan diri dengan peraturan DEFA.
“Mereka (Timor-Leste) akan diberi masa, memandangkan status keanggotaan mereka belum sepenuhnya disahkan. Lazimnya tempoh tertentu diberikan untuk penyelarasan peraturan,” katanya.
-- BERNAMA-ANTARA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial