DUNIA > BERITA

HAMAS BERSETUJU DENGAN FASA PERTAMA PELAN GENCATAN SENJATA GAZA TRUMP

09/10/2025 10:28 AM

ISTANBUL, 9 Okt (Bernama-Anadolu) -- Kumpulan Palestin Hamas pada awal Khamis mengumumkan bahawa ia telah bersetuju dengan fasa pertama pelan gencatan senjata Gaza oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, sambil menghargai usaha beliau bersama Turkiye, Qatar dan Mesir, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Hamas mengumumkan bahawa satu persetujuan telah dicapai yang merangkumi penamatan serangan di Gaza, pengunduran tentera Israel, kemasukan bantuan kemanusiaan dan pertukaran tahanan,” menurut kumpulan itu dalam satu kenyataan di Telegram.

“Kami amat menghargai usaha negara-negara pengantara di Qatar, Mesir dan Turkiye. Kami juga memuji usaha Presiden AS Donald Trump yang bertujuan menamatkan konflik secara menyeluruh serta memastikan pengunduran sepenuhnya tentera pendudukan Israel dari Semenanjung Gaza,” tambah kenyataan itu.

Kenyataan itu turut ditujukan kepada negara-negara penjamin perjanjian gencatan senjata serta pelbagai negara Arab dan Islam dan pihak antarabangsa, termasuk Trump,dengan menyeru supaya tekanan diberikan ke atas Israel untuk memenuhi tanggungjawab yang termaktub dalam perjanjian itu.

“Kami menegaskan bahawa pengorbanan rakyat kami tidak akan sia-sia, bahawa kami akan terus berpegang pada janji kami, dan tidak akan sekali-kali melepaskan hak-hak kebangsaan kami seperti hak untuk kebebasan, kemerdekaan dan penentuan nasib sendiri,” menurut kenyataan itu lagi.

Kenyataan Hamas itu dibuat sejurus selepas Trump mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah mempersetujui fasa pertama pelan damai Gaza yang diusulkan oleh AS.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan