PUTRAJAYA, 9 Okt (Bernama) -- Kerajaan sedang giat melaksanakan usaha bagi mendapatkan pembebasan segera dan tanpa syarat sembilan rakyat Malaysia yang juga peserta misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG), yang ditahan secara haram oleh rejim Israel sejak 8 Okt.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, usaha turut dijalankan melalui Kedutaan Besar Malaysia di Amman dan Ankara, serta pasukan perundangan antarabangsa bagi memastikan akses konsular kepada rakyat Malaysia yang ditahan, selain mempercepatkan proses penghantaran pulang mereka ke tanah air dengan selamat.
Kerajaan turut menggerakkan usaha ini dengan kerjasama negara sahabat, khususnya Turkiye, menurut kenyataan itu.
“Kesemua sembilan rakyat Malaysia dilaporkan berada dalam keadaan sihat. Keselamatan dan kebajikan semua warganegara Malaysia kekal menjadi keutamaan tertinggi kerajaan,” menurut kenyataan itu.
Misi kemanusiaan FFC dan TMTG melibatkan kira-kira 150 aktivis dari 25 negara menaiki sembilan kapal, termasuk Conscience dan Umm Saad, yang telah dipintas oleh pasukan Israel pada 8 Okt ketika mereka berada kurang daripada 120 batu nautika dari Gaza pada 10.50 pagi waktu Malaysia.
Para aktivis berkenaan dilaporkan ditahan di Penjara Ketziot di wilayah Negev, Israel.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial