DUNIA > BERITA

MALAYSIA ANJUR PERTANDINGAN BOLING DI KAZAKHSTAN SEMPENA HARI SUKAN NEGARA

12/10/2025 01:16 PM

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Kedutaan Besar Malaysia di Astana menganjurkan pertandingan boling persahabatan pada 11 Okt sempena sambutan Hari Sukan Negara.

Pertandingan itu  menghimpunkan empat kedutaan besar ASEAN di bawah Jawatankuasa ASEAN di Astana iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam dengan penyertaan 60 peserta di Pusat Boling Pingwin Astana.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Kedutaan Besar Malaysia di Astana memaklumkan acara itu menggabungkan elemen sukan dan diplomasi bagi mengukuhkan semangat muhibah serta kerjasama dalam kalangan komuniti diplomatik ASEAN. 

Ia juga menjadi platform tidak rasmi bagi para diplomat dan keluarga mereka berinteraksi dalam suasana santai dan mesra, menurut kenyataan itu.

Duta Besar Malaysia, Indonesia dan Thailand serta Kuasa Usaha Sementara Vietnam turut mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan.

Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan Mohd Adli Abdullah, yang menekankan peranan penting diplomasi sukan dalam mengeratkan hubungan persahabatan dan perpaduan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kedutaan-kedutaan ASEAN atas penyertaan serta sokongan padu mereka terhadap penganjuran acara itu, menurut kenyataan itu.

Penganjuran Hari Sukan Negara di luar negara membuktikan komitmen berterusan Malaysia dalam menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan rakyat Malaysia di perantauan serta rakan-rakan ASEAN.

Di samping itu juga, ia memperkukuhkan lagi semangat perpaduan dan kebersamaan, menurut kedutaan.

Kedutaan turut berharap acara seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dengan penyertaan lebih ramai pihak, bukan sahaja daripada kalangan negara-negara ASEAN, tetapi juga daripada komuniti diplomatik antarabangsa yang lain di Kazakhstan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan