DUNIA > BERITA

PRABOWO SERTAI SIDANG KEMUNCAK KEAMANAN GAZA DI MESIR

13/10/2025 02:26 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 13 Okt (Bernama) -- Presiden Indonesia Prabowo Subianto menerima jemputan untuk menghadiri Sidang Kemuncak Gaza di Sharm el-Sheikh, Mesir pada Isnin, kata Setiausaha Negara Prasetyo Hadi.

Beliau berkata jemputan itu diterima secara mengejut, namun Prabowo memutuskan untuk hadir sebagai langkah mengekalkan hubungan baik dan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Indonesia untuk mempromosikan keamanan di Timur Tengah.

“Presiden berkata ini mungkin kesinambungan rundingan yang Insya-Allah, dapat membawa keamanan kepada Palestin, khususnya di Gaza,” katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat di kediaman peribadi Prabowo di sini malam Ahad.

Walaupun butiran rundingan masih belum diperincikan, Prasetyo berkata Jakarta bersedia memainkan peranan lebih besar sekiranya terdapat kemajuan, termasuk kemungkinan menghantar 20,000 anggota pasukan pengaman, satu cadangan yang pernah dikemukakan Prabowo dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan lalu.

Naib Panglima Angkatan Tentera Indonesia, Jeneral Tandyo Budi Revita turut menghadiri mesyuarat pada Ahad dan diarahkan untuk memulakan persiapan awal sekiranya diperlukan, katanya.

Media antarabangsa melaporkan bahawa Sidang Keamanan Sharm el-Sheikh akan diadakan sebagai susulan kepada fasa pertama Pelan Keamanan Gaza yang bertujuan menamatkan perang di Gaza, Palestin.

Sidang berkenaan akan dipengerusikan bersama oleh Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, dengan kehadiran lebih 20 pemimpin dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan