LONDON, 15 Okt (Bernama-PA Media/dpa) -- Cristiano Ronaldo menyatakan beliau “amat berbangga” selepas mencatat satu “pencapaian unik” apabila muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam saingan kelayakan Piala Dunia, lapor PA Media/dpa.
Pemain berusia 40 tahun itu menjaringkan dua gol dalam keputusan seri 2-2 Portugal menentang Hungary, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan jaringannya dalam aksi kelayakan kepada 41 gol, mengatasi rekod 39 gol yang dipegang oleh Carlos Ruiz dari Guatemala.
Kedua-dua jaringan itu merupakan gol antarabangsa ke-142 dan ke-143 sepanjang kariernya, namun masih belum mencukupi untuk menjamin tempat Portugal ke Piala Dunia selepas Hungary menyamakan kedudukan pada saat akhir.
“Tidak menjadi rahsia bahawa mewakili pasukan kebangsaan amat bermakna buat saya dan sebab itulah saya sangat berbangga dapat mencapai pencapaian unik ini untuk Portugal,” kata Ronaldo menerusi platform media sosial X.
“Terima kasih kepada semua yang membantu saya sampai ke tahap ini. Jumpa anda semua pada November untuk memuktamadkan kelayakan Piala Dunia kami!”
-- BERNAMA-PA Media/dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial