GENEVA, 16 Okt (Bernama-Anadolu) -- Perancis dan Mesir akan bersama-sama menganjurkan satu persidangan antarabangsa mengenai pembinaan semula Gaza dan bekerjasama dengan rakan antarabangsa bagi menubuhkan pasukan untuk menstabilkan keadaan di wilayah itu di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata menteri luar negara itu pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Jean-Noel Barrot semasa berucap di Perhimpunan Kebangsaan menyifatkan gencatan senjata antara Hamas dan Israel yang dicapai minggu lalu sebagai “langkah penting”, namun memberi amaran bahawa “ia masih rapuh.”
Beliau berkata sidang kemuncak baru-baru ini di Sharm el-Sheikh yang turut dihadiri Presiden Emmanuel Macron adalah penting “untuk menyelaras dengan negara-negara Eropah dan negara-negara Arab yang mahu memainkan peranan penuh dalam usaha membina keamanan yang berkekalan di rantau itu.”
Menggariskan tiga keutamaan utama Perancis, Barrot berkata yang pertama ialah bantuan kemanusiaan dan pembinaan semula.
“Kita mesti menyalurkan bantuan kemanusiaan secara besar-besaran ke Semenanjung Gaza. Kita mesti memulakan kerja-kerja pembinaan semula sekarang,” katanya sambil mengumumkan bahawa Perancis dan Mesir akan menganjurkan bersama persidangan yang ditumpukan kepada usaha membina semula Gaza.
Keutamaan kedua, katanya, ialah keselamatan dengan penekanan kepada perlindungan orang awam.
“Kita mesti memastikan keselamatan, khususnya keselamatan rakyat Palestin di Gaza. Inilah sebabnya Perancis, bersama United Kingdom akan membentangkan satu resolusi kepada Majlis Keselamatan PBB bersama Amerika Syarikat bagi memberi mandat kepada pasukan antarabangsa untuk menstabilkan keadaan di Gaza yang akan dapat beroperasi dalam masa terdekat,” katanya.
Tonggak ketiga, jelas Barrot ialah tadbir urus Gaza apabila “kita mahu rakyat Palestin dapat memainkan peranan sepenuhnya, khususnya melalui Pihak Berkuasa Palestin.”
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial