DUNIA > BERITA

BADAN NARKOTIK INDONESIA GEMPUR MAKMAL DADAH DI JAKARTA

19/10/2025 02:33 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 19 Okt (Bernama) -- Badan Narkotik Kebangsaan (BNN) Indonesia berjaya membongkar sebuah makmal rahsia yang menghasilkan dadah jenis “crystal methamphetamine” di sebuah pangsapuri berhampiran Jakarta, dipercayai telah mengaut keuntungan sekitar satu bilion rupiah (US$61,000) dalam tempoh enam bulan lalu.

Dalam operasi bersama pihak Kastam, pegawai BNN menyerbu sebuah unit di bangunan pangsapuri di Cisauk, daerah Tangerang, wilayah Banten pada Jumaat lalu selepas beberapa minggu melakukan pemantauan dan risikan.

“Tiga suspek ditahan dengan dua terlibat dalam penghasilan dadah dan seorang lagi bertindak mengedar bahan terlarang itu, merupakan pesalah berulang yang pernah disabitkan kes serupa pada 2016,” menurut kenyataan BNN.

Dalam serbuan itu, pihak berkuasa merampas 209 gram “crystal methamphetamine”, 319 mililiter cecair “methamphetamine”, 1.06 kilogram “ephedrine”, 1.5 liter aseton, 400 mililiter asid sulfurik dan 3.43 liter “toluena”, selain pelbagai peralatan makmal lain.

BNN memaklumkan operasi itu menunjukkan komitmennya dalam membanteras kegiatan dadah, di tengah-tengah peningkatan taktik rumit oleh sindiket termasuk penggunaan unit pangsapuri sebagai lokasi tersembunyi bagi pengeluaran dan pengedaran.

Ketiga-tiga suspek kini didakwa di bawah Undang-Undang Narkotik Indonesia No. 35 Tahun 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun hingga hukuman mati.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan