Oleh Linda Khoo & Noor Bakhtiar Ahmad
KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Gencatan senjata terbaharu di Gaza menandakan satu kejayaan diplomatik yang memberi sinar harapan kepada keamanan selepas perang dua tahun yang dahsyat, namun timbul keraguan sama ada ia mampu membawa keamanan berkekalan dan membangunkan semula wilayah yang musnah itu.
Setakat perkembangan terkini, fasa pertama daripada pelan damai pelbagai peringkat antara Hamas dan Israel yang dicapai pada 9 Okt masih berkuat kuasa.
Penganalisis dan pemerhati memberi amaran bahawa keamanan akan terus sukar dicapai selagi pendudukan tidak berakhir dan sebuah negara Palestin yang berdaulat tidak ditubuhkan.
Mereka berpendapat walaupun gencatan senjata ini memberi jeda singkat bagi menyelamatkan nyawa dan menyalurkan bantuan, ia gagal menangani punca politik dan struktur konflik tersebut.
Tanpa penyelesaian terhadap isu teras ini, mereka memberi amaran bahawa sebarang gencatan senjata akan kekal rapuh dan bersifat sementara.
Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Roy Anthony Rogers berkata perjanjian gencatan senjata itu hanyalah langkah sementara kerana isu pokok masih belum diselesaikan.
“Saya menyambut baik gencatan senjata ini, namun saya percaya ia bukan penyelesaian jangka panjang. Konflik akan berterusan selagi pendudukan tidak berakhir dan penyelesaian dua negara tidak direalisasikan,” katanya kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama.
Beliau menambah bahawa penglibatan antarabangsa amat penting untuk mengubah gencatan senjata sedia ada kepada keamanan berkekalan di Palestin.
“Amerika Syarikat (AS), dengan pengaruh kuatnya terhadap Israel, memainkan peranan penting kerana Israel sering memberi tindak balas terhadap permintaan Washington.
“Pada masa sama, negara Timur Tengah seperti Jordan dan Arab Saudi juga mempunyai peranan penting. Negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) harus memainkan peranan lebih aktif dalam menuntut pengakhiran pendudukan dan mengambil langkah konkrit serta berorientasikan tindakan demi rakyat Palestin,” katanya.
Perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas itu dimeterai berdasarkan pelan yang dikemukakan oleh Presiden AS Donald Trump pada awal bulan ini.
Fasa pertama melibatkan pembebasan tawanan Israel sebagai pertukaran kepada tahanan Palestin, selain usaha membangunkan semula Gaza.
Fasa kedua pula menyeru penubuhan mekanisme pentadbiran baharu tanpa Hamas, penubuhan pasukan keselamatan bersama yang terdiri daripada rakyat Palestin serta anggota tentera negara Arab dan Islam, serta pelucutan senjata Hamas.
Seiring dengan pandangan Roy mengenai keperluan pendekatan menyeluruh, Pengurus Besar Global Peace Mission Malaysia (GPM), Pejabat Palestin, Dr Tareq Al-Talmas menegaskan bahawa akauntabiliti dan keadilan mesti menjadi asas kepada sebarang usaha damai.
Beliau berkata corak berterusan Israel melanggar perjanjian berpunca daripada doktrin penguasaan ketenteraannya, iaitu sebarang ancaman terhadap kekuatan atau keupayaan pertahanannya sering dibalas dengan tindakan ketenteraan.
Merujuk kepada Perjanjian Oslo yang ditandatangani pada awal 1990-an, beliau berkata proses damai itu pada asalnya dirangka sebagai laluan berperingkat ke arah perdamaian, tetapi selepas beberapa dekad, Israel hanya melaksanakan perkara yang menguntungkan keselamatannya.
“Gencatan senjata ini, seperti yang sebelumnya, kelihatan sebagai jeda taktikal dan bukan langkah strategik ke arah keamanan sebenar. Tanpa akauntabiliti dan perubahan dinamik kuasa, keamanan berkekalan sukar dicapai,” katanya.
Tareq berkata masyarakat antarabangsa mesti mengaktifkan mekanisme jelas untuk menuntut pertanggungjawaban Israel atas tindakannya, bukan sekadar melalui kenyataan atau kecaman simbolik, tetapi melalui akibat undang-undang yang nyata.
“Jenayah perang mesti diadili dan mahkamah antarabangsa perlu dibenarkan menegakkan keadilan bagi mangsa,” katanya.
Apabila ditanya mengenai keutamaan kemanusiaan paling mendesak bagi menstabilkan Gaza dan mencegah keganasan baharu, Tareq yang kini berada di Gaza bagi menyelaras operasi bantuan kemanusiaan berkata keadaan di lapangan “amat dahsyat”, dengan rumah, sekolah, hospital dan infrastruktur musnah sama sekali.
“Tetapi mungkin kerosakan paling parah bukan bersifat fizikal; ia adalah trauma emosi dan psikologi yang ditanggung rakyat. Selepas dua tahun perang tanpa henti, rakyat Gaza keletihan secara fizikal dan hancur secara emosi,” katanya.
Bagi mencegah ketidakstabilan lanjut, Tareq berkata terdapat keperluan mendesak bagi pelan pemulihan menyeluruh untuk membina semula infrastruktur penting, menyediakan makanan, air dan tempat perlindungan, menyokong pendidikan serta kesihatan mental, dan membantu keluarga memulihkan semula kehidupan mereka.
“Kita perlukan usaha bersatu daripada masyarakat antarabangsa, pertubuhan kemanusiaan dan pihak tempatan yang bekerjasama - bukan sekadar dengan bantuan, tetapi strategi jangka panjang yang menangani akar umbi kemanusiaan dan politik krisis ini.
“Membangunkan semula Gaza bukan sekadar membaiki bangunan; ia tentang memulihkan maruah, harapan dan hak untuk menjalani kehidupan normal,” katanya.
Sementara itu, Felo Kanan di Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Prof Dr Azmi Hasan berkata gencatan senjata di Gaza menekankan keperluan kehendak politik tulen untuk menamatkan konflik.
“Kedua-dua pihak, Hamas dan Israel, tidak mahu perang ini berlarutan, tetapi masing-masing tidak mahu dilihat kalah,” katanya.
Beliau menambah bahawa konflik itu sepatutnya boleh diselesaikan dua atau tiga tahun lalu sekiranya AS mempunyai kehendak politik untuk memaksa keamanan.
“Komitmen berterusan amat penting bagi memastikan semua pihak mematuhi terma gencatan senjata,” katanya.
Azmi yang juga pakar geostrategik berkata banyak negara kini mengakui bahawa apa yang berlaku di Gaza merupakan genosid, yang membawa kepada perubahan beransur-ansur dalam pendapat global terhadap Israel.
Kesedaran yang semakin meningkat ini, katanya, telah menjadikan Israel semakin terasing di peringkat antarabangsa, dengan negara seperti Perancis, United Kingdom, Kanada dan Australia mengambil pendirian lebih tegas terhadap situasi kemanusiaan itu, manakala hanya AS yang masih menyokong Tel Aviv.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel telah mengorbankan hampir 68,000 rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menjadikan wilayah itu hampir tidak dapat didiami.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial