WASHINGTON, 23 Okt (Bernama-Kyodo) -- Amerika Syarikat (AS) dan China akan mengadakan satu lagi pusingan rundingan perdagangan peringkat tinggi hujung minggu ini di Malaysia, bagi membuka laluan kepada pertemuan antara presiden kedua-dua kuasa ekonomi terbesar dunia, lapor Agensi Berita Kyodo memetik Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent.
“Saya akan berlepas petang ini. (Wakil Perdagangan AS) Jamieson Greer sudah dalam perjalanan ke Kuala Lumpur,” kata Bessent kepada rangkaian Fox Business pada Rabu, sambil menambah bahawa rundingan dengan delegasi China yang diketuai Naib Perdana Menteri He Lifeng akan diadakan pada Sabtu dan Ahad bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Bessent berkata pasukannya berharap dapat menyelesaikan beberapa perbezaan dengan pegawai China agar Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping “dapat memulakan perbincangan mereka dalam suasana yang lebih positif.”
“Adalah sesuatu yang merugikan jika pertemuan bersemuka pertama mereka dalam penggal kedua Presiden Trump disia-siakan,” katanya.
Menurut Bessent, kedua-dua pihak sedang berusaha mengatasi halangan sedia ada dan bergerak ke arah “dialog yang lebih konstruktif antara AS dan China.”
Trump sebelum ini menyatakan keyakinan terhadap kemungkinan mencapai beberapa perjanjian dengan Xi, namun tidak memberikan asas kepada keyakinannya.
Pada Rabu, Trump memberitahu pemberita di Rumah Putih bahawa AS akan “mencapai perjanjian dalam pelbagai perkara,” termasuk berhubung penyambungan semula import kacang soya dari China serta kemungkinan perbincangan isu pelucutan senjata nuklear.
Trump turut menyatakan keyakinan bahawa sekurang-kurangnya akan ada persetujuan mengenai mineral nadir bumi.
Dalam pertemuan yang dijadualkan, beliau juga merancang untuk berbincang dengan Xi mengenai cara menamatkan peperangan Rusia di Ukraine.
“Saya fikir beliau (Xi) boleh memberi pengaruh besar terhadap (Presiden Rusia) Vladimir Putin,” kata Trump.
Selepas melawat Malaysia dan Jepun, Trump serta Xi dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Korea Selatan minggu depan.
Sementara itu, Jabatan Negara AS memaklumkan bahawa Setiausaha Negara Marco Rubio akan melawat Malaysia, Jepun dan Korea Selatan dari Ahad hingga 30 Okt.
-- BERNAMA-KYODO
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial