DUNIA > BERITA

THAILAND SASAR MAJUKAN EKONOMI LEBIH HIJAU, JADI HAB SERANTAU KETERJAMINAN MAKANAN – SUPHAJEE

25/10/2025 06:46 PM

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Thailand berhasrat memajukan sebuah ekonomi yang lebih hijau dan menjadikan negara itu sebagai hab serantau bagi keterjaminan matan makanan pada masa hadapan, menurut Menteri Perdagangannya Suphajee Suthumpun.

Beliau berkata Kerajaan Thailand menggesa sektor swasta memberi tumpuan kepada bidang utama berkenaan kerana ia penting dalam membina satu masa depan yang lebih mampan di tengah-tengah ketidaktentuan iklim dan geopolitik global.

“Saya percaya Thailand sebenarnya sudah lebih daripada bersedia, kerana kami merupakan penyedia utama dalam bidang makanan dan produk pertanian, dan kami akan menambah elemen hijau dalam industri pertanian kami.

“Kami menggalakkan sektor swasta menumpukan perhatian serta mengamalkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta pendekatan digital. Saya yakin usaha ini akan membantu negara untuk terus maju ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi panel bertajuk “Leader Fireside Chat” yang dikendalikan oleh bekas Menteri Kabinet Malaysia Khairy Jamaluddin sempena Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Suphajee turut mengetengahkan beberapa sektor utama yang diberi tumpuan oleh Thailand termasuk kecerdasan buatan (AI) digital, semikonduktor termaju, automotif generasi baharu, keterjaminan makanan, tenaga bersih dan bioteknologi.

“Selain itu, industri digital amat penting. Sebagai pengerusi jawatankuasa rundingan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA), Thailand akan meletakkan ASEAN sebagai rantau yang mempunyai kesalinghubungan dengan dunia,  dalam landskap serta ekosistem digital, dengan menyediakan keupayaan  “interoperatability”.

“Kami akan terus menyokong usaha ASEAN ke hadapan, dan saya percaya inilah asas penting bagi rantau kami,” katanya.

ABIS yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini dianjurkan oleh Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) dengan tema” Menyatukan Pasaran untuk Kemakmuran Bersama”.

Sidang Kemuncak itu dianjurkan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan