Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 26 Okt (Bernama) -- Pengeluaran minyak Indonesia melepasi sasaran belanjawan 2025 buat kali pertama sejak 2008, mencecah 607,000 tong minyak sehari (bopd) pada Oktober, kata Menteri Energi dan Sumber Daya Mineral Bahlil Lahadalia.
Berucap di Majlis Anugerah Subroto pada Jumaat, beliau berkata sasaran sebanyak 605,000 tong sehari yang ditetapkan bagi 2025, meningkat daripada 480,000 pada 2024, mencerminkan penambahbaikan kawal selia termasuk kontrak perkongsian pengeluaran yang lebih fleksibel.
Beliau memuji kerajaan tempatan kerana memantau sekitar 45,000 telaga yang dikendalikan oleh komuniti, yang akan dinaik taraf melalui perusahaan kecil dan sederhana (PKS), koperasi dan syarikat milik kerajaan tempatan bagi memastikan pengurusan yang betul.
"Inisiatif ini membolehkan komuniti menguruskan telaga, dengan syarat tapak tersebut diselenggara dengan baik dan perlindungan alam sekitar serta keselamatan tempat kerja terjamin," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kementeriannya.
Bahlil berkata kontraktor perkongsian pengeluaran juga perlu membeli minyak daripada telaga ini pada 80 peratus daripada Harga Minyak Mentah Indonesia (ICP), yang membolehkan komuniti menjalankan kerja mereka tanpa sebarang kebimbangan.
Kementerian Energi dan Sumber Daya Mineral Tenaga menetapkan ICP bagi September 2025 pada US$66.81 setong, meningkat US$0.73 daripada Ogos, seiring kenaikan Niaga Hadapan Minyak Mentah Brent dan purata wajaran harga minyak mentah OPEC Reference Basket (ORB), di tengah-tengah kebimbangan gangguan bekalan disebabkan risiko geopolitik susulan konflik Rusia-Ukraine.
Indonesia, yang pernah menjadi pengeksport minyak utama dan ahli OPEC, mencatatkan pengeluaran sekitar 1.6 juta tong sehari pada akhir 1990-an sebelum merosot disebabkan banyak lapangan minyak telah menjadi matang.
Kementerian itu kini menyasarkan untuk memulihkan pengeluaran kepada satu juta tong sehari menjelang 2030.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial