DUNIA > BERITA

WANG YI HARAP CHINA, AS DAPAT CIPTA PERSEKITARAN BAGI PERKUKUH HUBUNGAN DUA HALA

28/10/2025 01:04 AM

BEIJING, 27 Okt (Bernama-Xinhua) -- Menteri Luar China Wang Yi pada Isnin menyatakan harapan agar China dan Amerika Syarikat (AS) dapat bekerjasama ke arah hala tuju yang sama bagi mempersiapkan interaksi peringkat tinggi serta mewujudkan keadaan yang kondusif bagi memperkukuh hubungan dua hala, lapor Xinhua.

Wang, yang juga anggota Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China membuat kenyataan itu dalam perbualan telefon dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio.

Beliau berkata hubungan China-AS memberi kesan kepada seluruh dunia dan hubungan dua hala yang sihat, stabil serta mampan akan memberi manfaat jangka panjang kepada kedua-dua negara serta memenuhi harapan bersama masyarakat antarabangsa.

Menurut Wang, Presiden Xi Jinping dan Presiden Donald Trump kedua-duanya merupakan pemimpin bertaraf dunia yang mengekalkan hubungan jangka panjang serta saling menghormati antara satu sama lain, yang dianggap sebagai aset strategik paling berharga dalam hubungan China-AS.

Wang berkata sebelum ini hubungan ekonomi dan perdagangan China-AS berdepan pergeseran baharu, namun melalui rundingan yang diadakan di Kuala Lumpur, kedua-dua pihak telah memperjelas pendirian masing-masing, meningkatkan persefahaman bersama dan mencapai konsensus asas mengenai penyelesaian isu ekonomi dan perdagangan yang mendesak secara sama rata.

“Ini sekali lagi membuktikan bahawa adalah mungkin untuk menstabilkan dan memajukan hubungan dua hala selagi kedua-dua pihak melaksanakan sepenuhnya konsensus penting yang dicapai oleh kedua-dua ketua negara, menegakkan prinsip kesamaan, saling menghormati dan saling menguntungkan, menyelesaikan perbezaan melalui dialog serta mengelak daripada menggunakan tekanan,” katanya.

Sementara itu, Rubio berkata hubungan AS-China merupakan hubungan dua hala paling penting di dunia dan beliau berharap dapat menghantar isyarat positif kepada dunia melalui interaksi peringkat tinggi.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan