Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 28 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Kemboja Hun Manet menggesa Thailand membebaskan 18 anggota tenteranya atas dasar kemanusiaan seperti yang dipersetujui dalam Perjanjian Damai Kuala Lumpur (Perjanjian Damai KL).
Kemboja dan Thailand memperbaharui hubungan dua hala mereka selepas pertelingkahan diplomatik selama hampir empat bulan yang berpunca daripada konflik sempadan selama lima hari pada akhir Julai lepas yang menjejaskan hubungan kedua-dua negara.
Kesemua askar Kemboja itu ditahan oleh tentera Thailand semasa konflik berkenaan.
Manet mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya dari Thailand, Anutin Charnvirakul pada pagi Selasa di Kuala Lumpur di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
“Tugas segera bagi kedua-dua pihak ialah bekerjasama rapat untuk memastikan pelaksanaan penuh dan dengan penuh keikhlasan Perjanjian Damai KL,” kata Manet dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja di sini hari ini.
Kemboja dan Thailand menandatangani perjanjian damai itu pada Ahad dengan disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Manet mengakui bahawa pemeteraian Perjanjian Damai KL menandakan satu lagi kemajuan selepas perjanjian gencatan senjata pada 28 Julai lepas yang membantu mengekalkan ketenangan dan kestabilan di sepanjang sempadan.
“Pelaksanaan tindakan yang digariskan dalam Perjanjian Damai KL merupakan tanggungjawab dan kewajipan bersama kedua-dua pihak,” katanya.
Pada Mei tahun ini, Kemboja dan Thailand berdepan krisis diplomatik apabila seorang anggota tentera Kemboja terbunuh dalam pertempuran di sempadan.
Pada 24 Julai, tentera Kemboja dan Thailand terlibat dalam pertempuran rentas sempadan yang berlarutan selama lima hari. Pertempuran itu berakhir pada 28 Julai selepas gencatan senjata yang dimeterai dengan usaha pengantaraan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, disokong Amerika Syarikat dan China.
Punca utama konflik itu ialah pertikaian mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer antara kedua-dua negara yang tidak ditandakan dengan jelas sejak 1907.
Pemeteraian Perjanjian Damai KL merasmikan perjanjian gencatan senjata terdahulu yang ditandatangani di Putrajaya pada 7 Ogos.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial