DUNIA > BERITA

ARAB SAUDI, PAKISTAN LANCAR RANGKA KERJA KERJASAMA EKONOMI TINGKAT PERDAGANGAN

29/10/2025 01:11 PM

RIYADH, 29 Okt (Bernama-SPA) -- Arab Saudi dan Pakistan bersetuju melancarkan Rangka Kerja Kerjasama Ekonomi berasaskan kepentingan ekonomi bersama serta hasrat bersama untuk memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Perjanjian itu diumumkan dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Selasa selepas pertemuan antara Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman dan Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif di Riyadh pada Isnin.

Rangka kerja itu bertujuan memperluas kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan dan pembangunan, memperkukuh peranan sektor swasta serta meningkatkan pertukaran perdagangan antara kedua-dua negara.

Sektor yang diberi keutamaan termasuk tenaga, perindustrian, perlombongan, teknologi maklumat, pelancongan, pertanian dan keselamatan makanan.

Kedua-dua pihak kini meneliti beberapa projek ekonomi bersama, termasuk memorandum persefahaman bagi projek sambungan elektrik antara kedua-dua negara dan kerjasama dalam sektor tenaga.

Rangka kerja itu juga memperluas usaha berterusan untuk memperkukuh hubungan Arab Saudi-Pakistan selain mencerminkan visi bersama kedua-dua negara untuk membina perkongsian mampan dalam pelbagai bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan.

Kedua-dua pemimpin turut menantikan penganjuran mesyuarat seterusnya Majlis Penyelarasan Tertinggi Arab Saudi-Pakistan.

-- BERNAMA-SPA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan