DUNIA > BERITA

PEMUKTAMADAN COC BAGI LAUT CHINA SELATAN KUNCI KESTABILAN SERANTAU - PRESIDEN MARCOS

29/10/2025 02:18 PM

Oleh Linda Khoo & Nur Atiq Maisarah Suhaimi

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr menegaskan bahawa pemuktamadan Kod Tatakelakuan (COC) bagi Laut China Selatan yang tertangguh sekian lama amat penting, sambil menyifatkannya sebagai asas kepada pengurusan pertikaian serta usaha mengekalkan kestabilan serantau.

Menjelang pengambilalihan Kepengerusian ASEAN oleh Filipina tahun depan, beliau berkata Manila akan terus berusaha ke arah pemuktamadan awal COC yang berkesan dan bermakna, sejajar dengan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).

“Saya amat berharap perkara itu dapat dimuktamadkan (semasa Filipina mempengerusikan ASEAN). Saya melihatnya sebagai satu peluang besar untuk akhirnya memuktamad, menandatangani dan melaksanakan COC tersebut,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Arul Rajoo Durar Raj.

Marcos berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berakhir pada Selasa.

COC bagi Laut China Selatan dilihat sebagai instrumen yang mempunyai kekuatan undang-undang dan bertujuan menjamin keamanan, mengurus tuntutan bertindih serta mencegah sebarang konflik dalam kalangan negara penuntut, termasuk Filipina.

Marcos berkata COC akan memberikan kejelasan dan ketelusan berhubung peraturan, tanggungjawab serta tindakan semua pihak yang terlibat.

“Sehingga ia dimuktamadkan, adalah sukar bagi rantau ini untuk bergerak ke hadapan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pemuktamadan COC bakal mengubah dinamik di Laut China Selatan dan rantau Indo-Pasifik secara keseluruhan.

Katanya, Filipina sejak sekian lama menekankan bahawa COC yang dipersetujui bersama adalah cara terbaik bagi memastikan keamanan dan kestabilan berkekalan di rantau ini.

Rundingan COC kini telah mencapai pembacaan ketiga Teks Rundingan Draf Tunggal (SDNT), menandakan kemajuan berterusan dan momentum positif ke arah menghasilkan rangka kerja yang mengikat serta berkesan bagi mengurus ketegangan dan mencegah konflik di perairan yang dipertikaikan.

Menurut Kementerian Luar Malaysia, lima pusingan rundingan COC dijalankan tahun ini di beberapa bandar ASEAN dan China - Jakarta pada Februari, Manila pada April, Kuching pada Ogos, Singapura pada September dan pusingan terakhir di China pada November.

Pada Julai lalu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ASEAN yakin COC yang berkesan dan bermakna dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat dengan komitmen penuh semua pihak yang terlibat dalam rundingan.

Laut China Selatan, yang merupakan antara laluan perdagangan tersibuk di dunia dan kawasan yang kaya dengan sumber marin serta mineral, sekian lama menjadi titik tumpuan antara China dan beberapa negara anggota ASEAN termasuk Filipina, Vietnam, Malaysia dan Brunei.

Walaupun rundingan antara ASEAN dan China telah berlangsung selama beberapa tahun, COC yang mengikat secara undang-undang masih belum dimuktamadkan, dengan blok berkenaan menyasarkan pemuktamadannya menjelang 2026.

Malaysia secara rasmi telah menyerahkan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina pada Selasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan