DUNIA > BERITA

FILIPINA TERUSKAN PENGLIBATAN ASEAN DENGAN MYANMAR DI BAWAH KEPENGERUSIANNYA - MARCOS

30/10/2025 12:57 PM

Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi & Linda Khoo

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Filipina, selaku pengerusi ASEAN 2026 akan terus memperjuangkan usaha membantu Myanmar mencari penyelesaian aman dan berkekalan terhadap krisis yang sedang melanda negara itu.

Presiden Ferdinand R. Marcos Jr. menyifatkan situasi di Myanmar sebagai “luka ASEAN yang belum sembuh,” sambil menegaskan bahawa blok serantau itu mesti mengekalkan tumpuan terhadap isu berkenaan dan terus mengamalkan pendekatan berasaskan penglibatan.

“Pedih bagi kita melihat negara jiran kita menderita akibat apa yang pada asasnya adalah perang saudara.

“Oleh itu, kita mesti terus berhubung dengan semua pihak berkepentingan, meneruskan rundingan dan mencari jalan baharu untuk menangani keadaan ini.

“Itulah yang kami ingin lakukan sepanjang kepengerusian ASEAN nanti,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.

Marcos berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berakhir pada Selasa.

Apabila ditanya sama ada pemimpin politik Myanmar akan dijemput menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN tahun depan di bawah kepimpinan Filipina, Marcos berkata, “Saya sangat berharap begitu. Pada dasarnya, saya seorang yang optimis, jadi ya, saya berharap kita akan sampai ke tahap itu.”

Setiausaha Tetap Kementerian Luar Myanmar, U Hau Khan Sum menghadiri sidang kemuncak yang diadakan di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt.

Marcos menegaskan bahawa walaupun terdapat batasan terhadap apa yang ASEAN boleh lakukan di Myanmar, blok itu tetap perlu meneruskan penglibatan dan memberi panduan kepada semua pihak yang terlibat.

“Kita (ASEAN) tidak boleh menutup pintu dan enggan mendengar mana-mana pihak di Myanmar. Kita mesti terus berhubung dengan semua pihak berkepentingan — bukan sahaja kerajaan dan birokrasi, tetapi juga parti pembangkang.

“Hasil terbaik untuk Myanmar ialah kembali berintegrasi sepenuhnya ke dalam ASEAN demi manfaat ekonomi, rakyat dan keamanan serantau,” katanya.

Mengakui kemajuan di Myanmar “agak perlahan” sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Marcos tetap optimis kerana perkembangan terkini menunjukkan tanda-tanda positif.

“Saya gembira untuk menyatakan bahawa ada sedikit kemajuan. Dalam tempoh setahun lalu, kita melihat beberapa perubahan. Sebab itulah saya sentiasa optimis bahawa jika kita terus di landasan ini, keadaan akan terus bertambah baik — tetapi kita tidak boleh berhenti,” katanya.

Pada sidang media selepas majlis penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa, Pengerusi ASEAN 2025, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keadaan di Myanmar kini “lebih baik berbanding sebelumnya,” walaupun beberapa serangan masih berlaku.

Beliau berkata, usaha berterusan ASEAN termasuk beberapa siri mesyuarat dan dialog dengan pemimpin Myanmar telah membantu mengurangkan insiden keganasan di beberapa wilayah.

Myanmar terus bergelut dengan krisis politik dan kemanusiaan yang berpanjangan sejak tentera menggulingkan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) pada 1 Feb 2021.

Pada April tahun sama, para pemimpin ASEAN mengadakan mesyuarat tergempar dan meluluskan Konsensus Lima Perkara (5PC) yang antara lain menyeru penghentian segera keganasan, dialog konstruktif dengan semua pihak berkepentingan bagi memulihkan keamanan dan kestabilan, serta penyelarasan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar.

Dalam kenyataan Semakan dan Keputusan Pemimpin ASEAN mengenai pelaksanaan 5PC pada Ahad, Menteri-Menteri Luar ASEAN menggesa semua pihak melaksanakan sepenuhnya konsensus itu bagi mencapai proses damai inklusif dan berkekalan yang diterajui serta dimiliki oleh Myanmar sendiri.

Berhubung rancangan Myanmar untuk mengadakan pilihan raya umum pada Disember tahun ini, para menteri menegaskan kepentingan pilihan raya yang bebas, adil, aman, telus, inklusif dan berwibawa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan