DUNIA > BERITA

HAVANA HARGAI SOKONGAN MALAYSIA MENENTANG SEKATAN KE ATAS CUBA - DUTA

30/10/2025 02:32 PM

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Cuba menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas sokongan konsisten dan berprinsipnya dalam menentang sekatan Amerika Syarikat (AS) yang dikenakan selama beberapa dekad terhadap negara Caribbean itu, sambil menyifatkannya sebagai lambang solidariti dan persahabatan yang bersejarah.

Duta Cuba ke Malaysia, Yadira Ledesma Hernandez berkata pendirian tegas Malaysia mencerminkan komitmen berterusan negara ini untuk menegakkan undang-undang antarabangsa serta prinsip dan matlamat Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau berkata suara Malaysia di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) setiap tahun memperlihatkan solidaritinya dengan Cuba serta kesungguhan mempertahankan hak negara-negara Selatan Global.

“Seperti yang sering ditegaskan pihak berkuasa Malaysia, adalah menjadi prinsip bagi Malaysia untuk mengutuk pelaksanaan langkah-langkah paksaan unilateral dan menuntut penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa.

“Malaysia memberikan sokongan yang tidak ternilai dan bersejarah kepada Cuba dalam tuntutan menamatkan sekatan yang tidak adil ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ahli-ahli UNGA menerima pakai resolusi yang menyeru penamatan embargo AS selama beberapa dekad terhadap Cuba pada hari Rabu.

Resolusi bertajuk “Necessity of ending the economic, commercial and financial embargo imposed by the United States of America against Cuba” diluluskan dengan 165 undi menyokong termasuk Malaysia, tujuh menentang dan 12 berkecuali.

Tahun ini menandakan kali ke-33 usul itu dibentangkan di hadapan Perhimpunan yang mempunyai 193 ahli.

Mengulas keputusan itu, Ledesma berkata ia membuktikan majoriti negara anggota PBB menolak sekatan AS, yang selama lebih enam dekad menjadi sistem sekatan unilateral paling berat dan berpanjangan terhadap mana-mana negara, serta menjadi penghalang utama kepada pembangunan sosioekonomi Cuba.

Beliau turut menjelaskan bahawa sekatan itu memberi kesan kemanusiaan dan ekonomi yang besar, dengan kerugian dianggarkan melebihi US$7.5 bilion tahun lalu sahaja, menjadikan jumlah keseluruhan kerugian lebih US$170 bilion.

“Sekatan itu menjejaskan semua sektor ekonomi, dengan kos kemanusiaan yang tidak dapat diukur. Langkah paksaan ini melumpuhkan ekonomi, mengakibatkan kekurangan bekalan dan menjejaskan perkhidmatan awam dengan tujuan menggugat kestabilan sosial,” katanya.

Walaupun berdepan cabaran, Cuba terus bergantung kepada daya tahan, inovasi dan kerjasama dengan negara-negara yang menolak kesan luar wilayah sekatan serta meneruskan perdagangan dengan negara itu.

Menurut beliau, Malaysia dan Cuba yang meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun ini, berkongsi aspirasi untuk memperkukuh kerjasama dan perdagangan dalam pelbagai sektor, meskipun berdepan kesan berpanjangan sekatan AS.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan