KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Malaysia menggesa pelaksanaan gencatan senjata serta-merta dan meminta Pasukan Sokongan Pantas (RSF) membuka laluan kemanusiaan bagi membolehkan bantuan serta bekalan disalurkan kepada penduduk di El Fasher dan semua kawasan terjejas di wilayah Darfur, Sudan.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia, bersama masyarakat dunia, menyaksikan dengan rasa ngeri tindakan RSF yang terus melakukan pembunuhan beramai-ramai dan mencetuskan krisis perpindahan dan kebuluran terbesar di dunia, di Sudan.
“Skala kekejaman yang berlaku amat mengejutkan, dan seperti yang ditunjukkan oleh imej satelit yang memperlihatkan darah menutupi bandar El Fasher, ia benar-benar menjadi noda terhadap seluruh kemanusiaan. Tindakan keganasan melampau yang tidak berperikemanusiaan ini mesti dihentikan sekarang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mohamad menegaskan dunia tidak boleh membiarkan berulangnya tragedi genosid Darfur, sambil mengingatkan bahawa babak paling gelap dalam sejarah tidak harus diulang.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia telah menggesa penamatan segera keganasan serta perlindungan terhadap orang awam dipatuhi sepenuhnya selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Kami berdiri teguh bersama rakyat Sudan dan menggesa masyarakat antarabangsa bertindak tegas untuk mencegah penderitaan selanjutnya, memulihkan akses kemanusiaan serta menyokong proses ke arah keamanan dan kebertanggungjawaban,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Sejak RSF melancarkan serangan besar ke atas bandar El Fasher pada 23 Okt, Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pihaknya menerima laporan ngeri mengenai hukuman mati tanpa perbicaraan, pembunuhan beramai-ramai, rogol, serangan terhadap petugas kemanusiaan, rompakan, penculikan dan pemindahan paksa.
Sudan kini dilanda perang saudara antara Angkatan Tentera Sudan dan RSF sejak April 2023, yang mengorbankan ribuan nyawa serta memaksa jutaan penduduk meninggalkan kediaman mereka.
Menurut PBB, Sudan kini menjadi lokasi krisis kemanusiaan dan perpindahan penduduk terbesar di dunia, dengan kira-kira 14 juta orang kehilangan tempat tinggal daripada jumlah penduduk seramai 51 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial