WASHINGTON, 6 Nov (Bernama-Anadolu) -- Misi Amerika Syarikat (AS) ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu memaklumkan bahawa Duta Besar Michael Waltz telah mempengerusikan mesyuarat peringkat tinggi bersama 10 anggota bukan tetap Majlis Keselamatan PBB (UNSC) bagi membincangkan draf resolusi berkaitan Gaza, lapor Anadolu Ajansi.
Misi itu turut menyatakan bahawa AS mengalu-alukan kehadiran Mesir, Qatar, Arab Saudi, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu dalam mesyuarat berkenaan.
Menurut kenyataan misi tersebut, penyertaan negara itu mencerminkan “sokongan serantau terhadap resolusi tersebut” dan menekankan kepentingan bersama dalam memajukan kestabilan serta keamanan di Gaza.
Draf resolusi berkenaan menyambut baik penubuhan Lembaga Keamanan dan memberi kuasa untuk mewujudkan Pasukan Penstabilan Antarabangsa, dua komponen utama dalam pelan 20 perkara Gaza oleh Presiden AS Donald Trump, menurut kenyataan itu.
Pelan tersebut menyeru agar penghantaran bantuan kemanusiaan diteruskan, semua tebusan dibebaskan, serta asas bagi keselamatan dan kemakmuran jangka panjang di rantau itu diwujudkan.
“Di bawah kepimpinan berani Presiden Trump, AS sekali lagi akan membawa hasil di PBB, bukan sekadar perbincangan tanpa penghujung. Pihak-pihak terlibat telah mengambil peluang bersejarah ini untuk menamatkan pertumpahan darah selama berdekad dan menjadikan visi presiden terhadap keamanan berkekalan di Timur Tengah satu kenyataan,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa AS telah mengedarkan draf resolusi kepada anggota Majlis Keselamatan yang menyeru pembentukan pasukan keselamatan antarabangsa di Gaza dengan mandat sekurang-kurangnya dua tahun.
Buat masa ini, belum jelas bila AS akan membawa draf resolusi itu untuk diundi di Majlis Keselamatan yang mempunyai 15 anggota.
Untuk diluluskan, resolusi berkenaan memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undi menyokong dan tiada veto daripada lima anggota tetap, iaitu AS, Britain, Perancis, Rusia atau China.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial