Oleh Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 6 Nov (Bernama) -- Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengumpulkan lebih 391,000 krathong dari sungai dan terusan di bandar itu selepas perayaan Loy Krathong pada Rabu, dengan lebih 80 peratus daripadanya diperbuat daripada bahan semula jadi, menunjukkan peningkatan sokongan orang ramai terhadap sambutan mesra alam.
Dalam kenyataan, jurucakap BMA Aekvarunyoo Amrapala berkata Jabatan Alam Sekitar, Saliran dan Pembetungan serta semua 50 pejabat daerah menjalankan kerja-kerja pengumpulan di 110 lokasi di seluruh ibu kota dari 8 malam Rabu hingga 5 pagi Khamis.
Beliau berkata jumlah krathong yang dikumpulkan tahun ini menurun kira-kira 24 peratus berbanding tahun lalu, dengan lebih 82.76 peratus daripadanya diperbuat daripada bahan semula jadi.
“Sebanyak 391,027 krathong dikumpulkan, menurun 24 peratus berbanding tahun sebelumnya (514,590 krathong). Daripada jumlah itu, 323,626 krathong (82.76 peratus) tahun ini diperbuat daripada bahan semula jadi, 28,298 (7.23 peratus) daripada bahan polistirena, dan 39,103 (10.01 peratus) daripada roti,” katanya.
Aekvarunyoo menjelaskan bahawa BMA menjalankan kerja-kerja pengumpulan mengikut pelan operasi bagi memastikan tiada sisa ditinggalkan di saluran air bandar.
“Krathong yang dikumpulkan dari Sungai Chao Phraya dibawa ke darat di Terusan Ong Ang di Daerah Phra Nakhon dan di jeti gudang Kementerian Perdagangan di Daerah Rat Burana untuk proses pengasingan bahan.
“Krathong yang diperbuat daripada bahan semula jadi dicincang dan dihantar ke loji baja organik Nong Khaem, manakala yang diperbuat daripada bahan lain seperti polistirena, dilupuskan dengan betul di tapak pelupusan sampah,” katanya.
Beliau menambah bahawa krathong yang dikumpulkan dari kawasan lain dihantar ke tiga stesen pemindahan sisa pepejal BMA — On Nut, Sai Mai dan Nong Khaem, untuk pelupusan yang teratur dan bersih.
Aekvarunyoo turut merakamkan penghargaan BMA kepada penduduk kerana memilih krathong mesra alam tahun ini.
Loy Krathong, yang disambut pada malam bulan purnama bulan lunar ke-12, menyaksikan ribuan krathong — bakul kecil yang dihias dengan bunga, lilin dan colok, dihanyutkan di sungai sebagai persembahan kepada Phra Mae Khongkha, Dewi Air, melambangkan rasa kesyukuran dan terhindar daripada musibah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial