DUNIA > BERITA

PRESIDEN PRABOWO NAFI DIPENGARUHI JOKOWI

06/11/2025 11:33 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 6 Nov (Bernama) -- Presiden Indonesia Prabowo Subianto menafikan beliau masih dipengaruhi bekas Presiden Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi dalam pemerintahannya, sambil menegaskan bahawa spekulasi itu tidak berasas.

Pemimpin itu turut menolak tuduhan kononnya beliau takut atau masih dikawal oleh Jokowi, sebaliknya menjelaskan hubungan mereka kekal baik sebagai sahabat.

“Pak Jokowi tidak pernah meminta apa-apa daripada saya. Mengapa saya perlu takut kepadanya? Beliau (Jokowi) kawan saya,” katanya ketika berucap di majlis perasmian kilang Lotte Chemical Indonesia di Cilegon, Banten pada Khamis.

Prabowo turut memuji kepimpinan Jokowi selama satu dekad dalam mengurus pertumbuhan ekonomi serta kadar inflasi sepanjang tempoh pentadbirannya.

Menurut beliau, perancangan pembinaan kemudahan pengeluaran petrokimia oleh syarikat Korea Selatan, Lotte Chemical bernilai hampir US$4 bilion (US$1=RM4.18) telah bermula ketika era pentadbiran Jokowi.

Sementara itu, beliau turut menegur budaya politik yang disifatkannya sebagai tidak sihat apabila pemimpin sering dikritik ketika tidak berkuasa dan hanya disanjung apabila memegang tampuk pemerintahan.

“Marilah kita belajar menghormati jasa semua tokoh dan pemimpin. Pemimpin itu manusia, adakah mereka sempurna? Sudah tentu tidak,” katanya.

Prabowo sebelum ini telah beberapa kali menafikan dakwaan wujudnya keretakan hubungan dengan Jokowi, terakhir ketika berucap di majlis penutupan Kongres ke-6 Parti Amanat Nasional pada Ogos lepas.

Beliau memenangi Pemilihan Presiden (Pilpres) 2024 dan secara rasmi mengambil alih jawatan Presiden Indonesia daripada Jokowi pada 20 Oktober 2024.

Penganalisis politik berpendapat Prabowo, yang pernah menjadi seteru Jokowi dalam Pilpres 2014 dan 2019, terhutang budi kepada Jokowi kerana beliau telah dilantik sebagai Menteri Pertahanan selepas persaingan sengit pada Pilpres 2019.

Selain itu, anak sulung Jokowi, Gibran Rakabuming Raka yang dipilih Prabowo sebagai calon naib presiden dalam Pilpres 2024, dilihat ramai pihak sebagai penyumbang utama kepada kemenangan Prabowo mengalahkan dua lagi lawannya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan