KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Timor-Leste berhasrat membawa pengalaman uniknya dalam pembinaan keamanan, tadbir urus demokratik dan perdamaian ke dalam ASEAN bagi melengkapi visi blok serantau itu sebagai komuniti berasaskan peraturan dan berpusatkan rakyat, kata Wakil Tetapnya ke ASEAN, Natercia Cipriano Coelho da Silva.
Natercia berkata populasi muda negara itu, sumber semula jadi yang kaya serta sektor swasta yang sedang berkembang akan membuka ruang baharu untuk kerjasama dalam perdagangan, pelaburan dan inovasi.
“Sebagai sebuah negara kecil tetapi berazam tinggi, Timor-Leste boleh menjadi jambatan antara ASEAN dan komuniti Lusophone (penutur bahasa Portugis), sekali gus menyumbang kepada capaian dan kepelbagaian serantau ASEAN,” katanya pada sesi perbincangan panel Forum Media ASEAN ke-9 bertemakan “From Neighbour to ASEAN Member: A Look at ASEAN’s Enlargement, Integration, and Engagement” yang diadakan di sini pada Khamis.
Beliau berkata kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN turut menandakan fasa baharu dalam perkongsian konstruktif yang berteraskan kepentingan bersama, saling menghormati dan komitmen untuk memperkukuh perpaduan, kepusatan serta impak serantau blok itu.
Natercia berkata perkongsian itu bukan sekadar simbolik tetapi satu tanggungjawab bersama untuk bekerjasama dalam memperkukuh institusi, membina kapasiti dan memastikan kemasukan Timor-Leste menambah nilai kepada pembaharuan dan daya tahan pembinaan Komuniti ASEAN dalam landskap global yang berubah dengan pantas.
“Timor-Leste akan menjadi rakan kongsi yang mendengar, belajar dan memimpin, bekerjasama untuk membentuk masa depan rantau kita bersama. Menjadi anggota ASEAN bukanlah penamat perjalanan kami, sebaliknya permulaan tanggungjawab bersama untuk membentuk masa depan rantau ini,” katanya.
Beliau berkata negara itu akan mengambil bahagian secara aktif dalam mesyuarat ASEAN, memenuhi komitmen di bawah perjanjian ASEAN dan menyumbang kepada matlamat kolektif dalam melaksanakan tanggungjawab ekonomi, kerjasama politik dan keselamatan serta hubungan antara rakyat.
Menurut Natercia, penyertaan Timor-Leste juga menegaskan semangat perpaduan dan kepelbagaian ASEAN, sambil menambah bahawa kekuatan blok itu sentiasa terletak pada keupayaannya menampung tahap pembangunan yang berbeza sambil mengejar matlamat bersama.
“Melalui mekanisme seperti Inisiatif Integrasi ASEAN, Timor-Leste berharap dapat belajar daripada serta menyumbang kepada kemajuan kolektif rantau kita,” katanya.
Wakil itu menyatakan bahawa blok serantau berkenaan juga berada pada saat yang menentukan dalam mengemudi perubahan teknologi yang pantas, peralihan ekonomi dan realiti geopolitik yang kompleks.
“Kami percaya masa depan ASEAN bergantung pada solidariti, kebolehsuaian dan kerjasama. Ketika kita bergerak ke hadapan, Timor-Leste bersedia untuk bekerjasama dengan negara anggota lain untuk memajukan agenda masa depan ASEAN yang berpandangan jauh - daripada memperkukuh ekonomi digital serantau kepada memperluas kerjasama di bawah Grid Tenaga ASEAN,” katanya.
“Ia bertujuan mewujudkan tenaga yang mampan dan selamat serta menangani cabaran baharu seperti keselamatan siber dan kerentanan jenayah siber. Kami melihat keutamaan ini penting bagi membina rantau yang bukan sahaja berdaya saing tetapi juga selamat dan inklusif,” tambahnya.
Timor-Leste secara rasmi menyertai ASEAN sebagai anggota ke-11 pada 26 Okt lepas - pengembangan pertama blok itu selepas 26 tahun. Keanggotaan itu dimuktamadkan melalui penandatanganan Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN semasa majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial