MEXICO CITY, 10 Nov (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Negara-negara Amerika Latin perlu bersatu mempertahankan kedaulatan dan keamanan susulan peningkatan kehadiran tentera Amerika Syarikat (AS) di rantau Caribbean, kata Presiden Venezuela Nicolas Maduro, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Maduro menyampaikan kenyataan itu menerusi surat kepada para peserta sidang kemuncak Komuniti Negara-Negara Amerika Latin dan Caribbean (CELAC) serta Kesatuan Eropah (EU) yang sedang berlangsung di Santa Marta, Colombia.
“Hari ini, berdepan ancaman ketenteraan di rantau Caribbean dan pelaksanaan hukuman yang dikecam oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kita bertanggungjawab untuk bersatu sebagai negara dan mempertahankan keamanan serantau serta menuntut dengan satu suara supaya serangan serta ancaman ketenteraan terhadap rakyat kita dihentikan segera,” kata Maduro dalam surat yang disiarkan di Telegram oleh Menteri Luar Venezuela Yvan Gil.
Pemimpin Venezuela itu menegaskan bahawa tindakan yang dilakukan atas alasan menjamin keselamatan atau memerangi pengedaran dadah telah mengakibatkan pembunuhan di luar proses undang-undang.
Beliau berkata tindakan oleh AS itu dikecam oleh pakar PBB dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia dan perlu disiasat di peringkat antarabangsa.
“Berhadapan dengan demonstrasi kekuatan berskala besar seperti ini, tiada ruang untuk kompromi. Prinsip yang sedang dipertaruhkan kini jelas dan tegas: kedaulatan negara serta hak rakyat untuk menentukan nasib sendiri.
“Venezuela dengan tegas menyatakan bahawa ia tidak menerima dan tidak akan menerima sebarang bentuk pengawasan,” katanya.
Maduro turut mengecam keras cubaan untuk menghidupkan semula Doktrin Monroe, yang menurutnya “menjadikan Amerika Latin medan pencerobohan dan rampasan kuasa demi merampas sumber asli,” serta menegaskannya berlawanan dengan Doktrin Bolivar yang mempertahankan kemerdekaan, perpaduan dan pembebasan rakyat.
Presiden Venezuela itu turut menggesa peserta sidang kemuncak supaya mengisytiharkan Amerika Latin dan Caribbean sebagai Zon Keamanan, mengecam usaha ketenteraan di rantau itu dan menubuhkan mekanisme bagi kerjasama kemanusiaan serta pertahanan kolektif.
Maduro juga menegaskan solidariti Venezuela dengan Cuba, menyifatkan sekatan ekonomi Amerika sebagai “tindakan jenayah dan tidak berperikemanusiaan,” serta menuntut pemansuhan semua sekatan unilateral, termasuk yang dikenakan oleh Kesatuan Eropah.
“Amerika Latin dan Caribbean adalah bangsa-bangsa merdeka yang menuntut dialog setara dan penuh hormat. Kami tidak menerima sekatan sebagai alat hukuman politik,” katanya sambil menyuarakan harapan agar sidang kemuncak itu menjadi permulaan kepada “era baharu perpaduan benua dan pertahanan kedaulatan.”
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial