KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) - Penumpang yang berlepas dari Singapura mulai 1 Okt 2026 akan dikenakan levi Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) antara S$1 hingga S$41.60, umum Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada Isnin.
Dalam kenyataan, CAAS memaklumkan levi itu - yang terpakai bagi tiket yang dijual mulai 1 April 2026 -akan dikenakan berdasarkan setiap penumpang dan berbeza mengikut jarak perjalanan yang dibahagikan kepada empat zon geografi serta kelas kabin penerbangan.
“Jumlah levi SAF ditetapkan berdasarkan jumlah bahan api yang diperlukan untuk mencapai sasaran satu peratus penggunaan SAF bagi tahun 2026 serta perbezaan harga antara SAF dan bahan api jet konvensional, selain kos lain termasuk pensijilan, pencampuran dan penghantaran,” menurut kenyataan itu.
Sebagai contoh, penumpang yang terbang ke negara-negara Asia Tenggara di bawah Zon I akan dikenakan levi S$1 bagi kabin ekonomi (Kelas Ekonomi dan Premium Ekonomi) atau S$4 bagi kabin premium (Kelas Perniagaan dan Kelas Pertama).
CAAS menjelaskan bahawa levi itu akan dikutip oleh syarikat penerbangan dan tidak terpakai kepada penumpang transit di Singapura, manakala bagi penerbangan dengan beberapa hentian, levi akan dikira berdasarkan destinasi seterusnya selepas berlepas dari republik itu.
Sementara itu, levi SAF turut dikenakan bagi penghantaran kargo, dikira berdasarkan kadar setiap kilogram dan berbeza mengikut jarak perjalanan yang juga dibahagikan kepada empat zon geografi.
Kadar levi itu bermula daripada S$0.01 sekilogram bagi Asia Tenggara (Zon I) hingga S$0.15 sekilogram bagi benua Amerika (Zon IV).
Levi itu juga akan diperkenalkan bagi penerbangan am dan perniagaan, dikira berdasarkan setiap pesawat dan berbeza mengikut jarak perjalanan serta kod A–F Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang digunakan sebagai ukuran saiz pesawat.
Kadar levi itu dianggarkan antara S$40 hingga S$6,500. Beberapa jenis penerbangan seperti latihan serta penerbangan bagi tujuan kebajikan atau kemanusiaan akan dikecualikan daripada levi berkenaan.
Ketua Pengarah CAAS Han Kok Juan berkata pengenalan levi SAF menandakan langkah penting dalam usaha Singapura membangunkan hab udara yang lebih mampan dan berdaya saing.
“Ia menyediakan mekanisme untuk semua pengguna penerbangan memainkan peranan menyumbang kepada kelestarian pada kadar yang mampu ditanggung oleh hab udara. Kami perlu memulakan, dan kami melakukannya secara berperingkat sambil memberi masa kepada industri, perniagaan dan orang awam untuk menyesuaikan diri,” katanya.
Levi SAF yang dikutip akan dimasukkan ke dalam Dana SAF berkanun yang diuruskan oleh CAAS, dan akan digunakan semata-mata bagi pembelian SAF serta atribut alam sekitar SAF (EA), termasuk menampung kos pentadbiran yang berkaitan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial