DUNIA > BERITA

KANADA HILANG STATUS PENGHAPUSAN CAMPAK SELEPAS WABAK BERLARUTAN SETAHUN

11/11/2025 05:16 PM

OTTAWA, 11 Nov (Bernama-Xinhua) -- Agensi Kesihatan Awam Kanada pada Isnin memaklumkan bahawa negara itu telah kehilangan status penghapusan campak, lapor Xinhua.

Dalam satu kenyataan, agensi berkenaan berkata pihaknya telah dimaklumkan mengenai perubahan status itu oleh Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika selepas mengesahkan bahawa strain virus campak yang sama telah menular secara berterusan di dalam negara itu selama lebih setahun.

Menurut kenyataan itu, Kanada kini mengalami wabak campak besar yang melibatkan pelbagai wilayah dan bermula pada Oktober 2024.

Sehingga 25 Okt 2025, jumlah kumulatif 5,138 kes campak telah dilaporkan di seluruh negara tahun ini, menurut laporan mingguan pemantauan campak dan rubela yang dikeluarkan oleh kerajaan Kanada.

Laporan itu turut menyebut bahawa dua kematian telah direkodkan, kedua-duanya melibatkan bayi pramatang yang dijangkiti campak kongenital.

Kanada sebelum ini memperoleh status penghapusan campak pada 1998.

Walaupun kadar penularan menunjukkan tanda-tanda penurunan kebelakangan ini, wabak itu berlarutan selama lebih 12 bulan, terutamanya dalam komuniti yang kurang menerima vaksin, menurut agensi berkenaan.

Agensi itu menegaskan bahawa Kanada boleh mendapatkan semula status penghapusan campak selepas penularan strain virus campak dalam wabak semasa berjaya dihentikan sekurang-kurangnya selama 12 bulan.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan