DUNIA > BERITA

PERSIDANGAN HAJI ARAB SAUDI KE-5 TAMAT DENGAN REKOD SEJUTA KONTRAK JEMAAH

13/11/2025 08:28 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Persidangan dan Pameran Haji Arab Saudi yang berlangsung selama empat hari dari 9 hingga 12 Nov di “Jeddah Super Dome” dan disertai secara meluas oleh agensi kerajaan serta sektor swasta, memuktamadkan kontrak bagi lebih sejuta jemaah haji.

Persidangan dan Pameran Haji edisi kelima itu bertujuan memastikan musim haji yang lancar dan selamat, menyediakan pengalaman jemaah yang luar biasa serta mewujudkan rangka kerja operasi mampan selaras dengan matlamat Kerajaan Arab Saudi untuk meningkatkan mutu perkhidmatan serta memperbaiki pengalaman haji dan umrah secara keseluruhan.

Persidangan itu, yang dihadiri kira-kira 300 entiti kerajaan dan swasta, bersama lebih 160,000 pelawat dan delegasi dari lebih 150 negara, menyediakan platform untuk pertukaran kepakaran mengenai penganjuran haji dan perkhidmatan untuk jemaah dan pelawat.

Delegasi Malaysia diwakili oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Al-Rabiah, menyifatkan pencapaian itu sebagai “bersejarah dan belum pernah berlaku”, kerana diselesaikan enam bulan lebih awal daripada musim haji, mencerminkan usaha kerajaan untuk memastikan musim haji yang lancar dan teratur.

Al-Rabiah turut menekankan penyertaan meluas agensi kerajaan dalam pameran itu, sambil menyatakan bahawa lebih 160,000 pelawat hadir - peningkatan 33 peratus berbanding tahun lalu.

“Kementerian Haji dan Umrah telah menandatangani perjanjian dengan 77 negara bagi menguruskan pelaksanaan haji untuk warganegara masing-masing, manakala sektor swasta memeterai hampir tiga ribu kontrak dengan pengendali haji di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh persidangan itu pada Khamis.

Al-Rabiah menambah bahawa Forum Umrah dan Ziarah dijadual diadakan di Madinah pada Januari tahun depan bagi memperkukuh kepakaran serta memperluas kerjasama antarabangsa dalam perkhidmatan haji dan umrah.

Forum itu turut mempamerkan pelbagai perkhidmatan termasuk pengangkutan, penginapan, kesihatan dan bimbingan kepada jemaah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan